MELAKA TENGAH - Setiap pasangan suami isteri menginginkan anak yang dilahirkan normal dan sihat namun bagi Siti Aishah Rafiee, 27, dan suaminya, Mohd Taufiq Yosuf, 25, mereka reda apabila bayinya dilahirkan tanpa tulang belakang.
Selain tiada tulang belakang, Mohd Fauzan Syakir yang berusia 3 bulan juga menghidap penyakit Complex Cyanotic Heart Disease dan 'Diabetes Embryopathy'.
Siti Aishah berkata, anaknya juga mempunyai satu injap jantung dan kini kaki anaknya juga terkepak dipercayai disebabkan tiada tulang belakang.
Menurutnya, walaupun anaknya dilahirkan tidak normal seperti bayi lain namun dia reda dengan ketentuan ALLAH SWT.
"Apa pun keadaan bayi saya, saya terima, dia darah daging saya dan bersyukur kerana keluarga sentiasa memberikan sokongan kepada saya untuk terus kuat," katanya.
Siti Aishah ditemui Sinar Harian ketika menerima kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee di rumah keluarganya di Taman Rumpun Bahagia Bachang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Siti Aishah berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pendapatan keluarganya juga terjejas.
"Suami saya bekerja sebagai pengayuh beca dan sejak PKP dia juga tidak bekerja.
"Mujurlah kami ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan namun kos untuk menampung keperluan anak saya kira-kira RM500 termasuk untuk memberi susu dan lampin pakai buang," katanya.
Menurutnya, doktor tidak mencadangkan anaknya untuk melakukan sebarang pembedahan kerana masih kecil selain risiko yang besar.
"Saya sangat berharap anak saya dapat sembuh dan membesar seperti bayi normal lain," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan wang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0499541100193537 atas nama Siti Aishah atau menghubunginya di talian 018-2706810.