Malaysia dan Covid-19 dari kaca mata pakar China

Iklan
Dr Li Jun

SERAMAI lapan orang pakar perubatan dari China tiba di Kuala Lumpur sejak 18 April lalu bagi membantu Malaysia memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).

Kehadiran mereka untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia sekali lagi membuktikan kerjasama erat Malaysia-China dalam menghadapi apa jua cabaran ibarat ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’.

Iklan
Iklan

Pada masa ini penularan wabak Covid-19 di China sudah berjaya dikawal dengan berkesan. Susulan itu, pemerintah China telah menyalurkan bantuan kepada pelbagai negara termasuklah Malaysia dengan berkongsi pengalaman mengenai pencegahan serta menghantar bekalan dan peralatan perubatan.

Kedatangan pasukan dari China itu yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang seperti pernafasan, rawatan rapi, psikiatri, penyakit berjangkit, analisis data, virologi dan perubatan tradisional Cina. Pasukan itu akan berada di Malaysia selama dua minggu.

Iklan

Timbalan Pengarang Berita Sinar Ahad, Ong Boon Teck menemu bual Ketua Pasukan pakar perubatan China itu, Dr Li Jun bagi mendapatkan gambaran mengenai Covid-19 dan pemerhatian mereka tentang usaha Malaysia dalam memerangi wabak itu.

Dr Li Jun yang juga Ketua Pakar Perubatan dan Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong turut berkongsi pengalamannya memerangi Covid-19 di China yang boleh digunakan sebagai panduan untuk menamatkan rantaian virus maut tersebut.

Iklan

SINAR AHAD: Apakah kejayaan-kejayaan China yang boleh dipelajari Malaysia dalam menangani wabak Covid-19?

DR LI JUN: Secara kesimpulannya, China mempunyai beberapa kaedah dalam usaha mencegah Covid-19. Pertama, kami sentiasa melakukan penemuan cepat, membuat laporan cepat, melakukan kuarantin dengan cepat, merawat dengan cepat serta menjalankan siasatan dengan rapi.

Kedua, kami melakukan pencegahan di tiga kawasan utama, iaitu laluan jalan raya utama, hospital dan komuniti penduduk dengan mengawal orang yang mengalami gejala demam dan masalah pernafasan serta mempunyai kontak rapat dengan pesakit dan pesakit yang disyaki.

Rombangan lapan pakar perubatan China bergambar bersama Duta China di Malaysia, Bai Tian (lima dari kiri) sebaik sahaja tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 April lalu.

Ketiga, kami menggunakan gabungan perubatan China dan Barat bagi meningkatkan keberkesanan rawatan. Keempat, kami membahagikan kepada peringkat demi peringkat untuk memulihkan aktiviti harian masyarakat seperti biasa.

Bagaimanapun, pengalaman dan cara yang dilakukan China ini hanyalah sebagai panduan. Setiap negara mempunyai pendekatan yang berlainan. Pelaksanaannya perlu berpandukan kepada keadaan dan keperluan negara itu sendiri. Apa yang kami lihat setelah beberapa hari berada di Malaysia, kami dapati kerajaan Malaysia telah melakukan langkah-langkah pencegahan yang tepat dan berkesan.

Data-data terkini menunjukkan kes jangkitan baharu di China sudah berakhir. Bagaimanakah kejayaan ini boleh dicapai?

Usaha kerajaan China dalam memerangi wabak Covid-19 sudah mencapai kejayaan. Bagaimanapun, keadaan yang sedang melanda di seluruh dunia terutama sekali di Eropah dan Amerika Syarikat masih serius dan belum ada nampak sebarang tanda kesnya akan berkurangan. Oleh itu, tekanan yang dihadapi China masih wujud kerana bimbang Covid-19 akan merebak ke dalam China semula.

Situasi wabak Covid-19 di China ketika ini sudah terkawal dan aktiviti harian telah semakin pulih seperti sediakala. Kami rasa gembira dengan kemenangan awal ini tetapi pada masa sama juga tertekan dengan peperangan yang panjang. Kami berharap seluruh dunia memandang serius wabak ini agar sama-sama menggerakkan langkah-langkah yang berkesan supaya penularannya dapat disekat dengan cepat.

Selepas wabak ini berakhir, apakah kebiasaan-kebiasaan baharu yang boleh dilihat pada hari ini di Wuhan khususnya dan China secara amnya?

Memang ada berlaku beberapa kebiasaan baharu. Yang jelas, rakyat China kini lebih mementingkan kesihatan sendiri dengan memakai topeng muka setiap kali keluar rumah, mengamalkan penjarakkan sosial, lebih kerap membeli barang keperluan secara dalam talian dan penghantaran barangan ke rumah.

Rentak kehidupan tidak nampak secara ketara, namun mereka lebih mengutamakan kehidupan berkeluarga dan lebih kerap bersenam serta memastikan badan sentiasa cergas.

Bolehkah anda ceritakan pengalaman anda ketika bertugas di China semasa kemuncak wabak Covid-19 ini berlaku? Apakah yang anda lihat dan apa yang boleh anda katakan tentang bahaya wabak ini?

Ketika wabak mula menular di China, saya bertanggungjawab mengawal selia kerja-kerja mengawal dan mencegah wabak di hospital. Tugas ini amat berat. Selain perlu mengesahkan pesakit Covid-19 terkena jangkitan atau tidak dalam tempoh yang singkat serta memastikan tidak seorang pun pesakit terabai, saya juga bertanggungjawab memastikan semua kakitangan saya di hospital sifar jangkitan di bawah keadaan kekurangan kelengkapan pelindung kesihatan.

Ketika kami perlu mengekalkan operasi di hospital seperti biasa, kami turut terpaksa menghantar ramai kakitangan untuk membantu hospital di Hubei yang menghadapi masalah kekurangan kakitangan di sana. Ia sememangnya satu cabaran yang getir bagi kami.

Nasib agak baik bagi pemerintah China yang telah melakukan langkah cepat dan tegas sehingga memperoleh hasil yang memberangsangkan. Ini ditambah pula dengan kerjasama erat yang ditunjukkan seluruh petugas hospital yang sama-sama melakukan kerja pencegahan dengan serius. Bagi setiap petugas, mereka melakukan penjagaan dan perlindungan diri dengan baik.

Sehingga hari ini, aktiviti harian di hospital telah pulih dan berjalan seperti biasa. Seluruh kakitangan termasuk pegawai perubatan yang memberi bantuan di Hubei tidak dijangkiti wabak Covid-19. Secara umumnya, kami telah mencapai matlamat seperti yang kami sasarkan.

Setelah beberapa hari berada di Malaysia, apakah pandangan anda tentang cara Malaysia menangani wabak ini?

Apa lagi yang boleh diperbaiki?Kami telah mengadakan dialog dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC), hospital, pusat penyelidikan dan beberapa jabatan kesihatan. Kami dapati Malaysia telah mampu mengawal wabak ini dengan berjaya. Pihak hospital juga menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi. Melihat perkembangan wabak Covid-19 di Malaysia sejak beberapa hari kebelakangan ini, kes baharu telah menunjukkan penurunan yang ketara manakala jumlah pesakit yang sembuh dan discaj dari hospital telah bertambah dan jumlahnya lebih banyak berbanding kes baharu.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba (tengah) menerima kunjugan rombongan pakar perubatan China yang diketuai Dr Li Jun di pejabat Kementerian Kesihatan minggu lalu.

Pada pendapat saya, demi mengelakkan wabak kembali menjadi serius, adalah lebih baik orang ramai dan kerajaan meningkatkan pemeriksaan kesihatan, meningkatkan keupayaan pengesanan asid nukleik serta perlu mengesan dengan cepat, kuarantin dengan cepat dan merawat dengan cepat.

Statistik jangkitan Covid-19 terus melonjak terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat. Apakah pandangan anda mengenai hal ini?

Jumlah kes yang semakin hari semakin tinggi di Eropah dan Amerika Syarikat mempunyai kaitan rapat dengan dasar pencegahan yang dilakukan mereka di peringkat awal. Eropah dan Amerika Syarikat tidak mengamalkan langkah kuarantin secara berkesan untuk menyekat penularan wabak ini. Selain mereka juga tidak melindungi orang yang mudah dijangkiti. Ini sudah tentu akan menyebabkan jumlah kes ini naik secara mendadak.

Satu lagi perkara yang ingin disebutkan di sini ialah kerja-kerja saringan tidak dilakukan dengan cukup pada peringkat awal sekali gus menyebabkan mereka gagal mengesan pesakit dengan cepat dan berkesan. Akhirnya, wabak menular secara meluas. Inilah masalah yang biasa wujud dalam kerja pengawalan dan pencegahan.

Berdasarkan kepada pemerhatian pasukan pakar perubatan dari China, apakah Malaysia mempunyai harapan yang cerah untuk memutuskan penularan pandemik Covid-19?

Dalam apa yang dilihat melalui majlis dialog yang kami hadiri, saya rasa langkah pencegahan yang dilakukan kerajaan Malaysia telah menunjukkan hasil yang bagus. Mutu klinik dan hospital serta keupayaan rawatan juga mampu memerangi wabak Covid-19. Dengan mengekalkan cara yang dilakukan sekarang, saya yakin Malaysia akan berjaya menamatkan wabak Covid-19. Namun, Malaysia perlu juga memerhatikan perkembangan di seluruh dunia terutama sekali di Eropah dan Amerika Syarikat.

Apakah saranan daripada pasukan pakar perubatan China untuk memastikan Malaysia berjaya dalam memerangi wabak ini?

Malaysia perlu mengekalkan cara berkesan seperti yang dilakukan sekarang, termasuklah langkah mengawal dan mencegah serta mengamalkan rawatan secara profesional. Malaysia juga perlu mengambil pengalaman dari negara-negara lain termasuk China. Saya yakin wabak ini dapat dicegah dan rakyat Malaysia mampu kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Apakah pandangan anda mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan Malaysia?

Untuk mencegah penyakit berjangkit, perkara utama yang perlu dilakukan adalah mengawal punca jangkitan, menyekat penularannya dan melindungi golongan yang mudah dijangkiti. PKP yang dikuatkuasakan Malaysia adalah untuk mengawal punca jangkitan dan menyekat penularan. Cara sedemikian amat berkesan.

Daripada jumlah kes baharu yang didapati pada hari ini, nampaknya ia telah mencapai hasil yang memuaskan.

Apakah tip atau panduan yang ingin dikongsikan oleh pakar-pakar perubatan China dengan doktor-doktor di Malaysia?

Ada beberapa perkara penting telah kami kongsikan, antaranya pengalaman China dan Guangdong dalam merawat pesakit Covid-19 yang teruk dan kritikal serta penubuhan pasukan MDT (diagnosis dan rawatan multidisiplin) dan kepentingannya; cara menubuhkan dan menguruskan kawasan jangkitan Covid-19; langkah-langkah pencegahan bagi pesakit biasa; prosedur pencegahan dan kawalan bagi rawatan kecemasan atau pembedahan.

Kami turut berpeluang memberikan pandangan mengenai penggunaan ubat antivirus dan keberkesanannya.

Selain itu, turut dikongsikan adalah pengalaman mengenai pengudaraan mekanikal; program intervensi psikologi untuk kakitangan perubatan dengan pesakit dan ahli keluarga mereka; kawalan jangkitan di hospital dan pengoptimuman proses, analisis data raya untuk menentukan trend wabak; analisis virus dan memahami punca jangkitan semula selepas pulih; perkembangan mengenai vaksin dan tempoh penghasilannya; dasar dan kaedah kawalan yang dilakukan oleh kerajaan China; serta garis panduan dan kaedah yang dilakukan China dan Guangdong dalam meneruskan kembali aktiviti pekerjaan.

Akhir sekali, kami menerangkan mengenai penggunaan kod kesihatan dan rangkaian internet di hospital dalam usaha mencegah dan mengawal Covid-19.

Bilakah agaknya Malaysia mampu mematikan rantaian Covid-19 sepenuhnya seperti yang dilakukan oleh China?

Sebenarnya China masih belum berjaya menamatkan Covid-19 secara sepenuhnya. Buat masa ini, masih ada beberapa kes jangkitan dilaporkan. Ia berlaku kerana berkaitan dengan bertambahnya penularan dari luar negara dan kaitan dengan penyakit lain. Tekanan ‘peningkatan daripada peringkat dalaman, pencegahan daripada peringkat luar’ masih dirasai.

Selain melawat Hospital Kuala Lumpur, rombongan pakar perubatan China turut melawat Hospital Sungai Buloh bagi melihat rawatan dan peralatan yang diberikan pesakit Covid-19 di situ.

Oleh itu, kalau ingin melihat bilakah wabak Covid-19 ini berakhir, Malaysia tidak hanya boleh melihat di negara sendiri, sebaliknya perlu melihat perkembangan di seluruh dunia secara keseluruhannya.

Vaksin berkesan untuk tangani Covid-19 mampu dicipta

Pada satu peringkat, hanya dua peratus kanak-kanak dijangkiti di seluruh dunia disebabkan sistem imun mereka yang kuat. Adakah ini bermakna sekolah sudah boleh dibuka sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan berakhir?

Kami dapati jumlah kanak-kanak yang terkena jangkitan wabak Covid-19 adalah kecil iaitu 6.7 peratus. Namun, ini bukan bermakna kanak-kanak mempunyai imuniti yang tinggi, tidak mudah dijangkiti ataupun keadaan mereka tidak serius selepas dijangkiti.

Dalam banyak kes yang kami peroleh, dalam tubuh kanak-kanak sebenarnya mengandungi jumlah toksin yang banyak, tempoh pembuangan toksin yang panjang dan kemungkinan mempunyai tahap jangkitan yang lebih tinggi.

Oleh itu, kami telah melakukan langkah yang lebih drastik untuk mencegah kanak-kanak daripada dijangkiti. Di wilayah Hubei, China, kami turut menerima laporan kes kematian dan jangkitan membabitkan golongan kanak-kanak. Kita perlu meningkatkan tahap perlindungan terhadap kanak-kanak. Saya rasa sama ada sekolah perlu dibuka atau tidak, ia hanya boleh ditentukan selepas penilaian dibuat terhadap seluruh persekitaran sosialnya.

Sejauh mana seriusnya kes jangkitan tanpa simptom di China dan di seluruh dunia di mana kanak-kanak yang dijangkiti tidak menunjukkan simptom tetapi boleh menyebarkan virus tersebut kepada orang lain terutamanya ahli keluarga?

Setiap negara menjalankan penyelidikan terhadap kumpulan manusia yang berbeza dan ini menyebabkan laporan mengenai peratusan jangkitan pun turut berbeza. Apa yang kami dapati melalui data menunjukkan golongan yang tidak dijangkiti wabak tanpa gejala berada pada tahap 5.9 peratus.

Seperti yang saya katakan tadi, apa yang kami dapati selepas seseorang kanak-kanak dijangkiti wabak Covid-19 ialah jumlah toksin yang dibawanya amat tinggi, jadi tahap penularannya turut tinggi. Kanak-kanak adalah golongan yang mempunyai kontak rapat dengan ahli keluarganya. Oleh itu, sekiranya dia tidak dikuarantin dengan segera, peluang menular kepada orang lain cukup besar terutama sekali kepada ahli keluarganya sendiri.

Apakah harapan anda terhadap penghasilan vaksin Covid-19? Bagaimana pula dengan jenis ubat yang digunakan di China sekarang untuk merawat wabak berkenaan?

Ketika ini, China mempunyai tiga pasukan yang melakukan percubaan vaksin dan memasuki fasa kedua ujian klinikal. Ini termasuk dua vaksin virus yang tidak aktif dan satu vaksin asid nukleik. China berusaha sedaya upaya untuk mempercepatkan kemajuan penelitian vaksin. Kami yakin mampu mencipta vaksin yang berkesan dalam tempoh terdekat.

Dalam rawatan awal pneumonia koronari baharu China, ubat-ubatan seperti remdesivir dan hidrosiklorokuin telah dicuba tetapi keberkesanannya masih perlu disahkan lebih lanjut. Setakat ini, tidak ada ubat kesan khas yang ditemui. Namun daripada pengalaman kami, penggunaan perubatan tradisional Cina yang meluas di China telah mencapai hasil yang baik.