Pahang benar semula majlis akad nikah

Iklan
Gambar hiasan

KUANTAN - Urusan akad nikah di Pahang yang ditangguhkan sementara sebelum ini dibenarkan kembali dengan beberapa syarat termasuk kehadiran tidak melebih lapan orang dan tempoh masa dipendekkan tidak lebih 20 minit.

Melalui syarat dan tatacara yang ditetapkan itu, majlis akad nikah hanya dibenarkan dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) atau tempat yang difikirkan sesuai bagi memastikan keselamatan, pematuhan syarat dan tatacara serta pemantauan.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,keputusan itu diambil Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengambil kita situasi semasa berkaitan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, hanya jurunikah, pasangan pengantin, dua saksi dan seorang wali yang dibenarkan hadir ke majlis akad nikah dan mereka ini dikehendaki mendaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon kepada kadi daerah atau wakilnya.

Iklan

"Upacara adat istiadat dalam majlis akad nikah tersebut tidak dibenarkan sama sekali dan beberapa keping gambar majlis akan diambil oleh Paid bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara-perkara berbangkit.

"Jika terdapat mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, kadi daerah atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Pahang, boleh menangguhkan majlis tersebut,"katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Wan Rosdy berkata, keutamaan diberikan kepada bakal pasangan pengantin yang telah mendapat kebenaran berkahwin (telah mendapat borang Akuan Akad) daripada Pejabat Agama Islam Daerah (Paid).

"Bagi tujuan ini, bakal pengantin perlu membuat permohonan atas talian menerusi capaian https://emunakahat.pahang.gov.my/ dengan melengkapkan Borang Permohonan Khas Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh PKD seterusnya diemelkan ke Paid berkaitan.

"Pihak Paid akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengenai maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang permohonan, bagi mengesahkan pihak yang hadir bukan dalam senarai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan Pesakit Dalam Pemantauan (PUS)," katanya.

Beliau berkata, mana-mana individu yang tersenarai sebagai PUI atau PUS tidak dibenarkan hadir ke majlis akad tersebut.

Katanya, borang permohonan yang lengkap akan diproses dalam tempoh tujuh hari sebelum surat pemakluman kepada pemohon akan diserahkan melalui e-mel bagi menentukan tarikh dan masa majlis akad akan dilaksanakan.

"Surat pemakluman itu perlu dicetak oleh pemohon bagi tujuan pengesahan perjalanan hadir ke Paid.

"Seterusnya kadi akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual dengan mengambil kira perbincangan bersama pihak pemohon,"katanya.

Menurutnya, pemohon dan pihak-pihak yang terlibat dalam majlis akad perlulah melepasi dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang akan dilaksanakan di peringkat Paid termasuk pemakaian penutup mulut dan hidung, melepasi ujian suhu dan penggunaan pensanitasi tangan.

"Mereka juga perlu mengambil langkah penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 1 meter, patuh susun atur kedudukan majlis yang ditentukan dan membuat sanitasi di tempat majlis akad,"katanya.

"Diharapkan semua syarat dan tatacara yang dikeluarkan ini dipatuhi.

"Ia bukan sahaja satu alternatif kepada bakal-bakal pengantin malah bagi memastikan keberkesanan usaha dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini,"katanya.