SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang menidakkan keperluan mengadakan sidang Parlimen lebih lama susulan pandemik koronavirus (Covid-19).
Fahmi yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kenyataan Takiyuddin seperti menafikan perlunya satu strategi keluar (exit strategy) buat Parlimen Malaysia.
"Sebagai menteri bertanggungjawab ke atas Parlimen, beliau sepatutnya Ahli Jemaah Menteri pertama yang mengumumkan langkah-langkah inovatif bagi menyesuaikan persidangan Parlimen dengan ‘kebiasaan baharu’ atau 'new normal' dan bukannya menteri pertama yang mengumumkan setiap ahli Parlimen penyokong kerajaan bakal diberi jawatan mengepalai syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Takiyuddin berkata, kerajaan mengambil kira keselamatan semua pihak yang terlibat dalam urusan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei depan.
Menurutnya, kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan perkembangan semasa khususnya dalam mengawal dan menamatkan ancaman wabak Covid-19 serta langkah segera dan penting bagi membantu rakyat menangani kesan jangka pendek.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Takiyuddin yang juga seorang peguam mungkin terlepas pandang bahawa Mahkamah Persekutuan mula menyesuaikan perjalanan mahkamah dengan keadaan sekarang di mana mulai 23 April lalu, prosiding Mahkamah Rayuan disiar secara langsung dalam talian.
"Ini dilakukan bagi membolehkan orang awam untuk melihat secara langsung pendengaran kes dijalankan seperti di mahkamah terbuka dan juga memastikan akses kepada keadilan adalah berterusan.
"Apakah menteri tidak mahu memastikan akses rakyat Malaysia kepada demokrasi juga berterusan?, soalnya.