KEPALA BATAS - Seramai 15 lelaki termasuk empat warga asing ditahan semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas mereka didapati berkumpul dan berbual.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka ditahan dalam pemantauan Ops Covid-19 yang dilakukan di sekitar Butterworth,Tasek Gelugor, Mak Mandin, Seri Pinang dan Bertam Perdana.
Iklan
Iklan
Menurutnya, ketika ditahan, kesemua lelaki berkenaan mengetahui mengenai penguatkuasaan PKP, namun mereka memberikan alasan bosan dan sekadar mahu berjumpa dengan rakan.
"Walaupun telah banyak tangkapan yang dibuat sebelum ini, namun masih ada segelintir masyarakat masih degil dengan tidak mematuhi PKP.
"Kesemua yang ditahan berusia di antara 16 hingga 41 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dan direman untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Noorzainy berkata, tangkapan melibatkan warga asing pula mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020)," katanya.