KOTA KINABALU - Ramai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di luar bandar masih tidak mengetahui bahawa mereka telah diberikan perlindungan di bawah takaful mySalam.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, perkara itu berpunca kerana kurangnya penetrasi dan literasi internet di luar bandar selain masih bergantung kepada maklumat konvensional.
Iklan
Iklan
"Pemegang polisi insurans mySalam terdiri daripada penerima BSH ini sudah boleh membuat tuntutan bermula 1 Mac tahun lepas melalui dalam talian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehingga kini kira-kira 3.8 juta penerima BSH dan BPN telah diberi perlindungan insurans mySalam di bawah syarikat Great Eastern Takaful Berhad secara automatik.
Beliau berkata individu yang layak memperoleh mySalam terdiri daripada golongan B40 berumur antara 18 hingga 65 tahun dan berpendapatan bawah RM4,000, Orang Kurang Upaya yang berpendapatan RM2,000 sebulan, individu bujang yang berumur antara 40 tahun hingga 65 tahun dan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.
Beliau berkata, skim itu juga akan diperluaskan kepada kira-kira lapan juta bukan penerima BSH bagi kategori B40 yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun dan berumur antara 18 hingga 65 tahun.
"Untuk maklumat lanjut, boleh dapatkan melalui email di info@mysalam.com.my atau portal mysalam," katanya. - Bernama