SHAH ALAM - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) tidak mempunyai maklumat berhubung penyebaran dokumen berkaitan penutupan beberapa hotel di Ipoh, Perak dan Pulau Pinang yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yap Lip Seng berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat rasmi daripada hotel terlibat.
Oleh itu, katanya, pihaknya tidak boleh mengesahkan perkara tersebut.
"Surat-surat yang tular ini adalah dokumen sulit dalaman dan bukan untuk edaran umum.
"Sebaiknya ia dirujuk kepada hotel-hotel tersebut untuk memastikan kesahihannya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Lip Seng bagaimanapun berkata, berdasarkan kaji selidik terbaharu pihaknya pada 16 April lalu, sebanyak 50 peratus hotel dikenal pasti menyatakan hasrat memberhentikan operasi.
Menurutnya, sebanyak 15 peratus lagi mempertimbangkan penutupan sepenuhnya dan 35 peratus lagi penutupan sementara.
"MAH sudah membangkitkan perkara ini kepada Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kewangan. Kami menggesa kerajaan agar meningkatkan subsidi gaji untuk sektor pelancongan terutamanya perhotelan supaya hotel boleh menanggung beban bayaran gaji pada masa ini," katanya.
Beliau berkata, jika kerajaan tidak dapat memberi lebih bantuan kepada sektor pelancongan, lebih ramai pengusaha yang akan terpaksa menutup hotel mereka dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"Kami menjangkakan kadar occupancy tahun 2020 pada tahap lebih kurang 25 peratus sahaja dan ini bermaksud hotel perlu menanggung kerugian sehingga tahun depan.
"Malah kaji selidik yang MAH lakukan setakat ini mendapati 20 peratus pekerja hotel sedang menanggung potongan gaji, 26 peratus diberi cuti tanpa gaji dan 6 peratus telah diberhentikan kerja," katanya.
Semalam, tular beberapa dokumen serta memorandum bertarikh 22 April lalu daripada beberapa hotel di Pulau Pinang dan Perak yang memaklumkan terpaksa menamatkan operasi hotel kerana menanggung kerugian besar susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).