LABUAN - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sini mula merasai impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik koronavirus (Covid-19) mengunjurkan hutang sewa yang tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Mereka berkata, kebanyakan PKS di pulau ini masih menyewa premis dan tanah milik kerajaan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984 dan kemudiannya diberi status pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia pada 1996.
Presiden Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML), Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman berkata, pengecualian sewa ke atas hartanah milik kerajaan ketika PKP tidak merangkumi Labuan menyebabkan PKS di pulau ini menghadapi kesukaran.
Beliau berkata, mereka bimbang sama ada mereka dapat terus membayar sewa bulanan yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan Labuan Corporation.
"Kami dimaklumkan beberapa pengusaha mungkin perlu menutup kedai terutamanya mereka yang mempunyai aliran tunai yang menyusut, berikutan kami mencatatkan urus niaga sifar sejak PKP dikuat kuasakan. Syarikat kami tidak menjana apa-apa pendapatan berikutan kami masih mematuhi perintah itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan pada 27 Mac lepas, PKS yang menyewa premis milik kerajaan Persekutuan, yang termasuk semua premis yang dimiliki oleh agensi dan badan berkanun kerajaan di seluruh negara layak untuk mendapat pengecualian sewa selama enam bulan.
Pengecualian bayaran sewa selama enam bulan untuk kantin, kafeteria, kedai serbaneka dan kedai lain yang beroperasi di bangunan kerajaan Persekutuan itu akan melibatkan kos sebanyak RM20 juta.
Alias berkata, sebahagian PKS menghadapi masalah aliran tunai dan amat memerlukan bantuan untuk mengelak ditutup berikutan pengecualian itu belum dilanjutkan kepada Labuan walaupun perniagaan kami turut terjejas teruk oleh PKP.
"Kami berharap Labuan Corporation, yang di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan, akan melihat situasi kami,” katanya.
Presiden Dewan Perniagaan Cina Labuan Datuk Wong Kii Yii berkata, dewan itu menjangka beberapa isu kewangan meningkat termasuk menutup perniagaan dan kadar pengangguran yang meningkat.
"Apabila kerajaan mengumumkan penangguhan selama enam bulan ke atas pembayaran balik pinjaman dan penstrukturan semula kad kredit tertunggak berikutan Covid-19 melibatkan sekurang-kurangnya RM100 bilion, ia juga penting untuk melihat kepada situasi majikan dan pemilik perniagaan di Labuan,” katanya.
Kii Yii tidak menolak kemungkinan majikan di pulau ini mengenakan pembekuan pengambilan pekerja, mengurangkan jumlah pekerja dan memotong gaji bulanan jika pandemik tersebut berlarutan. - Bernama