'Syukur ramai tampil bantu'

Iklan
Muhammad Adam Lai (kiri) dan isterinya menunjukkan mesin membuat bertih jagung yang dibeli hasil pinjaman modal diberikan kepada mereka.

ALOR SETAR - Sebuah keluarga di Flat Taman Setia Jaya, dekat sini tabah menghadapi kehidupan walaupun tidak mampu keluar mencari rezeki sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Muhammad Adam Lai Abdullah, 45, yang menyara keluarganya dengan menjual bertih jagung sejak hujung Disember tahun lalu dengan pendapatan RM50 sehari bersyukur kerana mendapat 'limpahan' bantuan sepanjang tempoh berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain Bantuan Prihatin Nasional (BPN), dia turut menerima bantuan lain daripada pihak lain seperti masjid yang diagihkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan jiran-jiran.

"Sepanjang PKP ini saya tidak dapat keluar untuk mencari rezeki, malah kedai yang menjual bahan-bahan mentah untuk membuat bertih jagung juga tidak dibuka sejak lebih sebulan lalu. Sejak itu, saya terputus mata pencarian," katanya.

Iklan

Muhammad Adam Lai berkata, dia tidak mampu melakukan tugasan berat berikutan tangan kanannya sering sakit akibat patah sebanyak dua kali kesan terjatuh semasa kanak-kanak.

Dia yang memeluk agama Islam sejak 10 tahun lalu mendirikan rumah tangga bersama seorang warga Indonesia, Ita Yusina Harlini Subran, 35, dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Irfanshah Lai, 9, dan Muhammad Riyanshah Lai, 6.

Iklan

Mengulas lanjut katanya, dia kini dalam proses untuk membayar hutang modal pinjaman daripada seorang individu dikenali pakcik Ridzuan yang banyak membantu keluarganya memulakan perniagaan bertih jagungnya melalui pinjaman modal kira-kira RM1,000.

"Saya kini dalam proses untuk membayar hutang modal pinjamannya dan kini sudah separuh berjaya dilangsaikan.

"Sebelum ini saya bekerja mengangkat sayur-sayur di Pasar Borong Jalan Gangsa dengan mendapat upah harian," katanya.

Muhammad Adam Lai membersihkan motosikal yang menjadi pengangkutan utamanya untuk mencari rezeki dengan menjual bertih jagung di sekitar Alor Setar.

Dalam pada itu, mereka juga kini dalam proses menyiapkan proses dokumentasi isterinya bagi memastikan dua anaknya dapat bersekolah di negara ini.

Mengakui perkahwinannya tidak mengikut lunas undang-undang semasa berkahwin pada 2010 berikutan pasport isterinya dipegang majikan, dia memberitahu, dua anaknya gagal didaftarkan di sekolah rendah berikutan tiada dokumen lengkap dan hanya belajar setakat usia enam tahun di taman didikan kanak-kanak.

"Saya mahu mereka mendapat pendidikan sehingga ke tahap tinggi walaupun kami bukan dari keluarga senang," katanya.

Sementara itu, Ita Yusina berkata, dia sekeluarga baru sahaja pulang ke Palembang hujung tahun lalu untuk menyiapkan dokumentasi dan selepas tamat PKP akan sekali lagi pulang ke sana bagi memohon permit mengikut suami ke negara ini.

"Walaupun kira-kira RM10,000 dihabiskan sepanjang berada di sana untuk semua urusan ini, saya bersyukur kerana pelbagai pihak membantu dan meminjamkan wang terutamanya dalam menyiapkan MyKid dua anak saya," katanya yang bekerja di kedai membuat makanan Jepun di Jalan Telok Wan Jah, dekat sini dengan upah RM45 sehari.

Jelasnya, dia juga turut bersyukur kerana majikannya membantu membayar separuh bayaran rumah sewa mereka bulan ini kerana berikutan terputus pendapatan sepanjang PKP ini.

Ita Yusina (kiri) dan Muhammad Adam Lai (kanan) melihat dokumentasi yang sudah hampir lengkap untuk membolehkan anak mereka didaftarkan belajar di sekolah di Alor Setar.