KUALA LUMPUR - Paip pecah dipercayai menjadi punca air meresap ke dalam tanah hingga menyebabkan pergerakan tanah di tebing perumahan Bukit Mas Desa Melawati, di sini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, sebelum ini Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Wangsa Maju, Unit Cerun Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran (JKAWS) bersama wakil penduduk telah membuat lawatan ke tapak berkenaan selepas menerima aduan.
Menurutnya, pemaju sebelum ini telah menggantikan paip pecah itu, namun paip yang digunakan tidak sesuai menyebabkan kerja baik pulih perlu dilakukan dengan anggaran kos sebanyak RM20,000.
"DBKL telah beberapa kali mengambil tindakan terhadap aduan tersebut dengan meletakkan tampolin (kanvas) sebagai tindakan awal dan hari ini juga Unit Cerun JKAWS telah menggantikan tampolin dahulu yang telah reput.
"Penduduk dicadangkan untuk melaporkan kepada pihak pemaju memandangkan kawasan tersebut di bawah kawasan persendirian dan Badan Pengurusan Bersama (JMB). Kos baik pulih itu boleh dibahagi dua antara penduduk dengan pemaju," katanya.
Nor Hisham turut mencadangkan penubuhan JMB disegerakan yang boleh membantu membawa masalah penduduk menggunakan saluran Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) DBKL.
Terdahulu, permasalahan itu dibangkitkan seorang penduduk, Fadhil Muhsin di Facebook rasmi Kementerian Alam Sekitar dan Air yang meminta pihak kementerian meninjau keadaan tebing runtuh di kawasan itu.
Menerusi aduan itu, permasalahan itu berlarutan sejak setahun lalu dan telah dikemukakan kepada pihak berkaitan, namun tiada tindakan drastik diambil, hanya menutup tebing dengan kanvas.
Pengadu memohon kementerian membantu kerana melibatkan puluhan nyawa tinggal di sana dan penduduk hidup dalam kebimbangan terutama ketika hujan lebat.