KUALA NERUS - Seramai 40 daripada 208 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang tinggal di asrama dan luar kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, hanya pelajar di kawasan zon hijau sahaja dibenarkan pulang dan akan dilakukan secara berperingkat mengikut zon bermula 29 April ini.
Menurutnya, seorang pelajar antarabangsa turut mendapat kebenaran balik ke Sulawesi, Indonesia.
"Bagi pelajar yang tinggal di zon kuning dan merah akan tinggal di asrama sementara makluman lanjut menyusul," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Dr Hassan Basri berkata, UniSZA akan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan termasuk saringan kesihatan pemeriksaan suhu badan setiap hari sebelum mereka pulang," katanya.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pergerakan penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) termasuk di Sabah dan Sarawak bermula hari ini secara berperingkat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses itu membabitkan kira-kira 85 peratus atau 53,000 pelajar dan hanya melibatkan kepulangan ke kawasan zon hijau dengan perjalanan dibuat dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan pergerakan besar pada waktu siang.