49 mukim di Johor dalam zon hijau

Iklan
Sebanyak 49 mukim di seluruh daerah di Johor diletakkan di bawah indikator hijau dengan tiada kes aktif koronavirus (Covid-19) direkodkan setakat tengah hari semalam. GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU - Sebanyak 49 mukim di seluruh daerah di Johor diletakkan di bawah indikator hijau dengan tiada kes aktif koronavirus (Covid-19) direkodkan setakat tengah hari semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, sebanyak 42 mukim lagi diletakkan di bawah zon kuning dengan jumlah antara satu hingga 40 kes manakala hanya satu mukim iaitu Ulu Benut masih diletakkan di bawah indikator merah dengan jumlah 79 kes yang masih aktif.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan hanya penambahan empat kes baharu Covid-19 yang menjadikan jumlah kumulatif kes positif kekal 659 kes sementara bilangan kumulatif kes sembuh di Johor pula 369 kes.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan sehingga jam 9 pagi semalam Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lapan stesen bacaan udara di negeri itu merekodkan bacaan baik.

Iklan

Katanya, Stesen Tangkak menunjukkan bacaan IPU 23 diikuti Segamat (39); Batu Pahat (16); Kluang (15); Larkin (35); Pengerang (32); Kota Tinggi (31) dan terakhir Pasir Gudang merekodkan bacaan yang baik iaitu 28.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai, pihak industri dan pengusaha pertanian supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka termasuk pembakaran sampah sarap di sekeliling rumah kerana mencemarkan alam sekitar dan mengganggu kesejahteraan jiran terutama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan