Dakwaan terhadap GLC tidak bertanggungjawab

Iklan
Khaled Nordin
JOHOR BAHRU - Kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian terhadap Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri, baru-baru ini, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan berasas.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dakwaan tersebut juga sangat terpesong, tidak tepat dan sengaja dibuat untuk mengelirukan orang ramai.

Menurutnya, kenyataan berkenaan tidak dibuat dengan memberikan konteks sebenar, maklumat lengkap serta kriteria penilaian yang adil dan objektif.

"Pertama sekali, adalah tidak konklusif dan kurang bijak untuk kita menilai kekuatan dan kedudukan sesebuah konglomerat dengan hanya melihat jumlah hutangnya.

"Kedua, kita mesti turut mengambil kira sumbangan dan pelaburan sosial yang bukan bersifat dan bermatlamatkan keuntungan dalam bentuk material atau wang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Khaled berkata, jika ingin menilai sumbangan Johor Corporation (JCorp) atau mana-mana GLC Johor, mestilah bersikap adil untuk mengambil kira pelbagai faktor yang kritikal dan relevan sekali gus tidak hanya bersandar kepada jumlah hutang.

Katanya, beliau percaya kesemua dakwaan tidak benar itu hanya gimik politik dan alasan dibuat-buat oleh seorang pemimpin yang malas berfikir bagaimana untuk mencari idea baharu bagi membangunkan Johor.

"Saya sangat bersetuju dengan hasrat Menteri Besar Johor, seperti yang katanya telah dipersembahkan kepada Sultan Johor, untuk membuat audit forensik ke atas GLC-GLC Johor.

"Cuma jangan sekadar disebut sebagai penyedap ucapan. Lakukannya. Dapatkan pihak yang profesional, berkecuali dan pakar untuk benar-benar membuat penilaian dan laporan ke atas prestasi GLC-GLC Johor ini,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, apa jua kriteria yang ingin dinilai, jangan sesekali menafi dan mengeluarkan sumbangan GLC-GLC itu kepada Johor dalam bentuk jauh lebih besar dari sekadar rekod keuntungan dalam ringgit.

"Saya mencabar Menteri Besar Johor, selaku Pengerusi kepada sebahagian GLC-GLC Johor, untuk memberikan kepimpinan dan mencari jalan agar syarikat-syarikat ini mengurangkan hutang dan mendapat untung.

"Tidak ada guna hanya menuding jari pada orang lain tanpa berbuat apa-apa untuk membetulkan keadaan. Telahan saya, barangkali beliau kini tertekan, kerana minggu hadapan, beliau akan membentangkan Belanjawan Negeri Johor 2019. Maka, sudah pastilah keupayaan beliau memikirkan strategi ekonomi dan inovasi sosial akan diteliti dan dinilai oleh masyarakat,” katanya.

Mohamed Khaled menyarankan Osman agar menumpukan perhatian untuk membentang agenda dan hala tuju baharu dalam melonjakkan potensi besar negeri Johor ke tahap yang lebih baik.

"Inilah ujian sebenar untuk beliau. Berhentilah menuduh, kurangkan kontroversi, jangan hanya rajin menyebar manipulasi dan spekulasi. Berikan kepimpinan, lakukan perubahan, buktikan pencapaian,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Johor akan melaksanakan audit forensik ke atas semua GLC miliknya dalam tempoh terdekat bagi mengetahui punca keberhutangan sesetengah syarikat dan pertindihan dalam perniagaan.

Osman berkata buat permulaan, audit itu mungkin dilaksanakan terhadap dua atau tiga syarikat dengan satu daripadanya adalah YPJ Holdings.

Beliau turut memberitahu kerajaan negeri mengetahui secara kasar hutang JCorp, namun ingin penjelasan mengapa ia begitu banyak hingga menyebabkan kerajaan negeri perlu memikirkan cara untuk memperkukuhkan kembali organisasi berkenaan.