PARIT BUNTAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik inisiatif Pemuda Umno membentuk sebuah sekretariat bagi memantau kenaikan harga barang di seluruh negara pada masa hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha terbaharu Pemuda Umno yang diumumkan ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam dan menyifatkannya sebagai langkah terpuji dalam membantu kerajaan menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat negara ini.
Menurutnya, usaha dilakukan Pemuda Umno adalah selaras dengan dasar sedang diperjuangkan di peringkat kementerian yang mahu memastikan inisiatif menangani kos sara hidup melibatkan semua pihak termasuk parti pembangkang.
"Saya difahamkan Pemuda Umno akan mewujudkan pasukan pemantau harga sendiri dan menguar-uarkan hasil laporan tinjauan dibuat kepada rakyat dari semasa ke semasa.
"Saya akan meminta pegawai penguatkuasaan kementerian dan kakitangan Majlis Harga Barang turut memberi perhatian terhadap hasil kerja dilakukan Pemuda Umno selain melaksanakan tugas hakiki masing-masing.
"Hal ini kerana ianya sesuai dengan kempen KPDNHEP melalui bahagian gerakan penggunaan yang khusus untuk program pendidikan konsumer yang menggalakkan semua pihak menjadi mata dan telinga agensi kementerian itu," katanya kepada media pada majlis perasmian pembukaan cawangan kedua kilang Harta Packaging Industries (Perak) Sdn Bhd di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan HPI Resources Berhad, Chang Kee Soon, Pengarah Urusan HPI Perak Sdn Bhd, Lim Kok Siong dan Presiden Oji Asia Packaging, Yasuo Nakanishi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Asyraf Wajdi akan menubuhkan sekretariat pemantauan harga barang bagi memantau harga barang di seluruh negara bermula bulan hadapan.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution juga menegaskan KPDNHEP akan memantau tindakan mana-mana pengusaha kantin sekolah di negara ini yang didapati menaikkan harga makanan dan minuman tidak mengikut spesifikasi harga ditetapkan dalam tender dianugerahi.
Menurutnya, mana-mana pengusaha atau operator kantin sekolah tidak terlepas dengan aspek pemantauan kawalan harga daripada KPDNHEP, meskipun proses penganugerahan tender kantin diselia Kementerian Pendidikan.
"Saya hendak sebutkan bahawa jualan di kantin sekolah akan melalui proses tender diselia Kementerian Pendidikan yang juga melibatkan pengurusan sekolah.
"Kontraktor hendak berniaga di kantin perlu menyenaraikan sebut harga makanan yang akan disemak dan ditentukan pihak sekolah yang turut melibatkan PIBG, di mana keseluruhan proses itu dijalankan Kementerian Pendidikan.
"Namun, sejurus proses tender selesai dan dianugerahkan kepada operator kantin berjaya, itu tidak bermakna jika berlaku kenaikan harga, operator kantin terlepas daripada aspek dan pemantauan kawalan KPDNHEP," katanya.
Saifuddin berkata, inisiatif pemantauan harga makanan dan minuman di kantin sekolah sudah dimulakan di negeri Selangor dan pihaknya menegaskan ianya akan diperluaskan ke seluruh negara dalam kadar segera.