PADA 13 April lalu, Sinar Harian telah membangkitkan betapa pentingnya isu keselamatan makanan dijadikan keutamaan oleh kerajaan.
Ia sangat penting kerana pada ketika ini kita sudah belajar daripada pengalaman pahit yang sedang melanda negara dan dunia ketika ini iaitu wabak koronavirus (Covid-19).
Mujurlah, pandangan yang disampaikan itu mendapat perhatian daripada kerajaan apabila sebuah jawatankuasa khas bagi merumuskan isu tersebut akan ditubuhkan tidak lama lagi.
Difahamkan, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jaminan Makanan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memulakan inisiatif mewujudkan Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara.
Jawatankuasa itu akan menjadikan subsektor makanan pertanian sebagai tumpuan utama dalam sektor pertanian untuk mencapai agenda meningkatkan jaminan makanan Malaysia dan menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi barisan hadapan pertanian.
Tumpuan akan merangkumi antara lain untuk memperkukuhkan rantaian bekalan makanan, menambahkan sokongan dan perkhidmatan penyampaian, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknologi serta menggalakkan lagi pematuhan terhadap standard dan amalan pertanian yang baik.
Selain itu, kerajaan juga akan merencanakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Dasar Agro Makanan Negara (NAFP) 2.0 untuk memacu pemodenan dalam subsektor makanan pertanian dengan memanfaatkan Revolusi Perindustrian 4.0.
Usaha tersebut bertujuan meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan dengan meninggikan produktiviti, menjana pendapatan lebih tinggi dan menarik generasi muda agropreneur yang akhirnya akan menambah sumbangan nilai tambah pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Adalah diharapkan cakap-cakap tentang usaha menjadikan isu keselamatan makanan ini bukan sekadar tindakan melepas batuk di tangga sahaja, sebaliknya harus jadi keutamaan bagi sesiapa sahaja yang memegang tampuk pemerintahan negara pada masa depan.
Sudah tentu petani, penternak dan nelayan di Malaysia akan gembira jika produk bukan sahaja mampu memenuhi keperluan dalam negara, malah mungkin dapat menembusi pasaran antarabangsa.