PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyeru peniaga di Pasar Taman Megah dan Pasar Besar Jalan Othman agar dapat menjalani proses saringan Covid-19.
Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar berkata, proses saringan di Pasar Taman Megah akan diadakan esok manakala Pasar Besar Jalan Othman pula pada hari Rabu bermula jam 9 pagi.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil selepas terdapat peniaga didapati positif wabak Covid-19 dipercayai dari kluster Pasar Borong Kuala Lumpur.
"Kita minta peniaga di Pasar Taman Megah khususnya di bahagian sayur yang beroperasi pada 11-25 April untuk tampil menjalani proses saringan yang akan diadakan di pasar berkenaan esok.
ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga positif Covid-19: Pasar Pagi Taman Megah ditutup sementara
Jangkitan kluster pasar borong menular
"Orang ramai yang mengunjungi Pasar Taman Megah pada 11-25 April dan Pasar Besar Jalan Othman pada 5-18 juga boleh menjalani saringan di Klinik Kesihatan Kelana Jaya SS6 atau Klinik Kesihatan Taman Medan pada bila-bila masa," katanya ketika sidang media di Pasar Besar Jalan Othman, hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan penutupan sementara Pasar Taman Megah Petaling Jaya berikutan kes seorang peniaga yang disahkan positif Covid-19.
Dalam pada itu, Johary berkata, kedua-dua pasar berkenaan akan ditutup sekurang-kurangnya untuk tempoh lima hari dan perkembangan selanjutkan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"Pasar Taman Megah telah ditutup bermula semalam (Ahad) manakala Pasar Jalan Othman pula ditutup bermula hari ini," katanya.