MEF harap kerajaan gerakkan semula ekonomi

Iklan
Kerajaan digesa membenarkan syarikat dan kilang beroperasi semula di Malaysia walaupun PKP masih dikuatkuasakan.

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan membenarkan syarikat terutama firma kecil untuk beroperasi semula secara berperingkat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menggerakkan semula ekonomi.

Saranan itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa jumlah positif koronavirus (Covid-19) dan pertambahan zon hijau di Malaysia.

Iklan
Iklan

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berpendapat, pelaksanaan PKP memberi kesan terhadap lebih 650,000 majikan di seluruh Malaysia ketika ini kerana mereka tidak mempunyai simpanan atau dana kewangan yang besar.

"PKP ini sebenarnya bertujuan untuk melarang orang awam daripada keluar rumah sewenang-wenangnya tetapi premis perniagaan seperti kilang dan pejabat mestilah dibenarkan (beroperasi) dengan seberapa segera mengikut garis panduan ketat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan

"Ia termasuklah menyaring pekerja yang mahu dipanggil untuk bekerja supaya mereka benar-benar sihat dan tidak positif Covid-19.

"Mungkin tidak 100 peratus kakitangan di sesebuah syarikat dibenarkan bekerja tetapi untuk peringkat permulaan, sekitar 30 hingga 50 peratus kekuatan tenaga kerja dahulu,” katanya.

Iklan

Menurutnya, kebenaran hanya perlu diberi kepada sebilangan pekerja bagi membolehkan amalan penjarakkan sosial dilaksanakan.

Jelasnya, amalan keselamatan yang tinggi daripada syarikat dan pekerja perlu dipraktikkan walaupun ia melibatkan kawasan hijau yang tidak mempunyai kes.

"Ini bermakna SOP yang kerajaan keluarkan itu digunakan secara menyeluruh tidak kira di zon mana syarikat atau pekerja itu berada.

"Ia harus diikuti supaya kita dapat membendung peningkatan atau jumlah jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau turut meminta supaya syarikat-syarikat yang beroperasi selepas ini tidak lagi perlu membuat permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau mana-mana agensi kerajaan.

Katanya, jika ada syarikat yang tidak sanggup beroperasi sepanjang tempoh PKP, mereka mempunyai pilihan sama ada berhenti sementara atau membenarkan pekerja bekerja dari rumah bagi mengurangkan kesan negatif terhadap ekonomi negara.

"Seperti yang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin maklumkan bahawa negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari sepanjang PKP. Sekarang PKP dilaksanakan lebih daripada sebulan dan saya anggarkan kerugian itu sekitar RM100 bilion,” katanya.