NEW DELHI - INDIA. Pasukan penyelamat India berjaya menemui mayat seorang dari 15 pelombong yang terperangkap dalam sebuah lombong arang batu di Meghalaya, lebih sebulan lalu.
"Mayat terbabit akan dibawa keluar dengan pengawasan doktor," kata kenyataan Tentera Laut India menerusi Twitter, sambil menambah mayat ditemui pada kedalaman 50-65 meter dengan bantuan alat pengesan.
Iklan
Iklan
Terdahulu, beberapa percubaan penyelam untuk sampai ke lokasi pelombong yang terperangkap serta usaha mengepam keluar air menemui kegagalan.
Kumpulan pelombong terbabit dilaporkan terperangkap apabila air sungai berhampiran melimpah masuk ke dalam lombong haram sedalam 106 meter itu pada 13 Disember lalu.
Pihak berkuasa India dikecam hebat pelbagai pihak kerana lambat melancarkan operasi menyelamat mangsa.
Mahkamah telah mengharamkan kegiatan melombong arang batu di Meghalaya, namun ia tetap diteruskan secara haram oleh penduduk setempat melalui kaedah 'lubang tikus' dengan menggali lubang di lereng bukit dan membentuk terowong kecil menuju ke sumber arang batu.
Dalam pada itu, Ketua Pasukan Bantuan Bencana Kebangsaan, S. K. Singh memaklumkan operasi mencari mayat mangsa yang lain akan diteruskan. - AFP