RUU bahan khayal digubal tangani ketagihan gam

Iklan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membenteras Gejala Dadah di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Rang Undang-undang mengenai bahan khayal akan digubal bagi menangani penyalahgunaan bahan seperti gam dan ubat-ubatan psikotropik dalam kalangan remaja, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, gejala ketagihan gam menjadi masalah sosial yang meruncing apabila ia melibatkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun yang akhirnya memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka.

Iklan
Iklan

"Bahan khayal termasuk (ubat-ubatan) psikotropik dan gam tidak dikategorikan sebagai bahan haram, tetapi anda boleh membuat campurannya dan menjadi khayal.

"Ia sebenarnya memberi kesan kepada otak terutamanya kepada golongan muda seawal usia 10 tahun," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di Perdana Putra, di sini hari ini.

Iklan

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dan P. Waytha Moorthy.

Ditanya sama ada rang undang-undang itu akan turut memasukkan hukuman bagi pesalah, Timbalan Perdana Menteri berkata buat masa ini ia masih dalam peringkat draf.

Iklan

"Aspek punitif dan pendidikan akan dimasukkan dalam draf itu... kami masih menelitinya," katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata jawatankuasa itu turut bersetuju supaya akta berkaitan akan dipinda bagi memasukkan kesalahan menanam ketum tanpa kebenaran.

Tanpa menyatakan akta tersebut, beliau berkata mengikut peruntukan undang-undang, bahan mitragynine yang terkandung di dalam pokok ketum tersenarai dalam Jadual Ketiga, Bahan Psikotropik, Akta Racun 1952 yang mengawal import, eksport, pembuatan, penjualan, dan lain-lain bahan psikotropik.

"Sebagaimana sedia maklum, penanaman ketum buat masa ini dibenarkan manakala menjadi kesalahan apabila ia dituai dan dijual," katanya. - Bernama