GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Gembira, lega dan bersyukur. Itu luahan penuntut-penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dari zon tengah yang tiba di Pulau Pinang awal pagi ini selepas dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Malah mereka juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pihak berkuasa lain yang membantu menguruskan penghantaran pulang mereka ke kampung halaman masing-masing di sini selepas terkandas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seorang penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohd Alif Fitri Mohd Sultan, 21, berkata, dia berasa lega dan gembira sebaik bas yang membawanya bersama rakan-rakan tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut serta bersyukur dapat berjumpa ibu, ayah dan ahli keluarga yang lain.
"Alhamdulillah kami selamat sampai, perasaan tak tau nak cakap macam mana gembira dan lega kerana dapat balik ke rumah sendiri selepas lebih sebulan di kolej di universiti. Semasa dalam perjalanan saya tak dapat tidur dan berharap dapat sampai cepat...dah rindu keluarga lagipun kali terakhir balik kampung awal bulan Februari.
"Kami bersyukur pihak kerajaan prihatin dengan nasib pelajar yang terkandas kerana PKP dan menguruskan penghantaran pulang. Semua pihak yang terlibat (penghantaran pulang) buat kerja dengan baik, pengurusan yang sistematik untuk kami," katanya kepada pemberita sebaik tiba di IPD Timur Laut, di sini pada jam 4.30 pagi tadi.
Seorang lagi penuntut, Ibrahim Abdullah Md Harashid, 22, berkata, dia memang sudah lama hendak balik ke rumah keluarganya namun tidak dapat berbuat demikian kerana PKP dan peluang dapat pulang pada hari ini sememangnya ditunggu-tunggu.
Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata, dia sudah tiga bulan tidak berjumpa keluarga dan gembira dapat balik kerana boleh berpuasa serta menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Batu Uban, di sini.
Bapanya, Md Harashid Harun berkata, mereka sekeluarga merindui Ibrahim Abdullah kerana telah lama tidak berjumpa malah sebelum ini anaknya itu akan pulang sekurang-kurangnya dua bulan sekali dan sepanjang PKP setiap hari mereka berhubung menerusi telefon bagi mengetahui perkembangan di universiti.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim yang mengiringi bas membawa penuntut-penuntut itu dari ibu negara ke Pulau Pinang berkata, perjalanan lancar dan semua pelajar selamat tiba ke pangkuan keluarga mereka.
"Kami (polis) akan mempercepat dan perkemaskan lagi kerana proses membawa pulang penuntut-penuntut ini akan berlangsung sehingga 10 Mei. Kami jangkakan pada 29 April ini membabitkan jumlah pelajar yang lebih ramai," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, seramai 201 penuntut dari zon tengah yang dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing tiba di Pulau Pinang awal pagi ini membabitkan lima lokasi 'drop-off point' di IPD, pejabat daerah dan politeknik.
Katanya, seramai 59 penuntut tiba di Pejabat Daerah Seberang Perai Utara, Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (46 orang), IPD Timur Laut (40 orang), Politeknik Balik Pulau (33 orang) dan IPD Seberang Perai Selatan (23 orang). - Bernama