SHAH ALAM - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menjelaskan penularan gambar sut pakaian Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) untuk anak kapal masih dalam peringkat kajian.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan itu, inisatif percubaan pemakaian PPE itu dilakukan oleh AirAsia Filipina untuk kru kabin mereka baru-baru ini.
"AirAsia Filipina telah melakukan inisiatif percubaan pemakaian PPE yang dibuat khusus untuk kru kabin mereka. Ia pertama kali digunakan untuk penerbangan penghantaran pulang (recovery flight). Penilaian lebih mendalam mengenai rekaan ini sedang dijalankan.
"Pihak kami tidak dapat memberikan penjelasan lanjut kerana PPE ini masih dalam peringkat kajian. Pihak kami akan memaklumkan jika ada sebarang perkembangan berkaitan perkara ini," kata kenyataan itu.
AirAsia Filipina baru-baru ini mengambil inisiatif melancarkan PPE untuk kru kabin mereka semasa penerbangan penghantaran pulang dari Bangkok ke Manila.
Naib Ketua AirAsia Filipina, Sheila Romero menjelaskan, inisiatif tersebut merupakan tanggungjawab mereka untuk membantu mencegah penularan Covid-19 dan bahan PPE yang digunakan itu telah diluluskan oleh Jabatan Kesihatan negara tersebut.
PPE yang dilancarkan itu bukan sahaja untuk menjaga keselamatan para penumpang dan kru, tetapi bagi memastikan keselesaan kru kabin yang perlu bergerak sepanjang penerbangan.
Sut PPE ini direka oleh pereka Filipina yang berpangkalan di Los Angeles, Puey Quinones dan diperbuat daripada bahan yang berkualiti dan selesa namun masih mengekalkan warna identiti AirAsia.