1,451 notis amaran kesalahan merokok dikeluarkan

Iklan
Dr Sha’ari (berdiri, kiri) mengedarkan risalah larangan merokok di kawasan premis kedai kepada orang awam ketika mengadakan melakukan pemeriksaan di premis makanan di sekitar Kuantan di sini, hari ini.

KUANTAN - Kurang pemahaman terhadap perintah larangan merokok serta keengganan pemilik premis bekerjasama dalam memberi amaran kepada perokok yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu menyaksikan sebanyak 1,451 notis amaran di keluarkan sepanjang 14 hari penguatkuasaan dijalankan Jabatan Kesihatan Pahang.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, ramai perokok kurang pendidikan apabila membabitkan arahan mereka hanya boleh merokok sejauh tiga meter dari premis makanan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejak penguatkuasaan dijalankan pihaknya pada 1 Januari lalu sebanyak 5,181 premis makanan diperiksa pihaknya seluruh negeri.

"Kebanyakan perokok silap tafsir maksud tiga meter itu. Mereka ingat ia tiga meter dari tepi kedai walaupun ada meja dan kerusi diletakkan di luar kedai oleh pemiliknya. Ia berlaku, misalnya di kedai mamak, terutama pada waktu malam.

Iklan

"Daripada jumlah itu 1,451 kesalahan dikesan dengan 1,401 pemilik premis diberikan notis amaran kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok.

"Selain itu, pihak kita turut mengeluarkan notis amaran kepada 50 individu yang masih ingkar merokok di dalam premis makanan.

Iklan

"Sebanyak 17,869 risalah dan nasihat turut dikeluarkan dalam tempoh itu,” katanya kepada Sinar Harian selepas melakukan pemeriksaan di premis makanan di Kuantan di sini, hari ini.

Dr Sha’ari berkata, dalam tempoh enam bulan bermula 1 Januari lalu, pihaknya tidak akan mengeluarkan notis kompaun kepada individu atau pemilik premis sebaliknya menggunakan kaedah nasihat dan amaran.

Menurutnya, , perokok dan pemilik premis yang ingkar akan dikenakan kompaun berjumlah RM250 dan sekiranya gagal menjelaskannya boleh dihadapkan ke mahkamah sebaik sahaja tamat tempoh enam bulan itu

"Saya harap pemilik premis makanan memberikan kerjasama yang baik dengan memasang papan tanda amaran merokok mengikut spesifikasi dikeluarkan Kementerian Kesihatan ...sekiranya mereka nampak pelanggan masih menghisap rokok di kawasan premis, mereka perlu tegur.

"Sekiranya pelanggan tidak mengendahkan maka pemilik premis boleh membuat aduan kepada kita dan pegawai penguatkuasa kita akan ambil maklum dengan kadar segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau untuk rekod sebanyak 41 aduan diterima pihaknya di seluruh Pahang membabitkan larangan menghisap rokok di kawasan premis makanan dengan 34 daripadanya berjaya diselesaikan sehingga Isnin lalu.

Larangan berkenaan diwartakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Kementerian sudah memulakan tempoh penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan dan mana-mana individu yang melanggar larangan itu selepas tempoh berkenaan berdepan denda RM10,000, manakala premis makanan yang gagal menguatkuasakannya akan didenda sebanyak RM2,500.