GEORGETOWN - Seramai 191 pelajar universiti yang terkandas di kampus masing-masing selamat pulang ke Pulau Pinang awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, kesemua pelajar tersebut tiba di lima ibu pejabat polis daerah negeri mengikut kawasan kediaman masing-masing kira-kira jam 4 pagi tadi.
Menurutnya, 30 pelajar tiba di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, 59 di IPD Seberang Perai Utara, 33 di IPD Barat Daya, 46 IPD Seberang Perai Tengah dan 23 di IPD Seberang Perai Selatan.
"Pada mulanya dijangka 213 pelajar akan tiba namun yang sampai hanya 191. Ini kerana ada yang tukar bas, tangguh perjalanan pulang dan sebagainya.
"Mereka selamat sampai awal pagi tadi dan telah dibawa pulang oleh waris masing-masing," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, ahli keluarga dan waris dilihat tiba di IPD kawasan masing-masing sejak jam 3 pagi bagi menunggu ketibaan pelajar dari universiti termasuk dari Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.
Kelihatan kesemua pelajar tersebut terharu dan gembira apabila dapat bertemu keluarga masing-masing selepas terkandas di kampus kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu, tinjauan di IPD Timur Laut mendapati, setiap pelajar yang tiba dipanggil seorang demi seorang dan ditemani ahli keluarga bagi mengisi borang sebelum pulang.
Malah, polis turut mengingatkan semua keluarga pelajar tersebut agar terus pulang ke rumah.
Salah seorang pelajar, Mohd Alif Mohd Sultan, 21, berkata, dia bersyukur apabila tiba di Pulau Pinang dengan selamat.
"Saya bersyukur apabila dapat pulang ke pangkuan keluarga selepas terkandas di kampus sejak PKP dilaksanakan. Terima kasih kepada semua pihak yang menguruskan kepulangan kami.
"Semuanya dijalankan dengan baik dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Kami dilayan dengan baik sejak PKP dilaksanakan sehingga hari ini," katanya ketika ditemui di IPD Timur Laut awal pagi tadi.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan seramai 1,128 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadi kumpulan pertama pulang ke kampung halaman bermula malam tadi.
Beliau berkata, penghantaran pelajar itu melibatkan sembilan universiti menggunakan 49 buah bas ke 17 destinasi.
Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan pelajar itu menyaksikan 863 individu dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara.