Pembayaran fasa kedua BPN bermula 4 Mei

Iklan
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dibuat bermula 4 Mei depan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, pembayaran tersebut meliputi kesemua penerima BPN terdiri daripada golongan B40 dan M40 sama ada isi rumah atau individu bujang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga 26 April, lebih 3.26 juta permohonan baharu dan rayuan telah diterima iaitu masing-masing sebanyak 2.96 juta dan 305,000.

"Proses ini akan tutup pada hari Khamis, 30 April ini dan pengumuman pembayaran pula akan dibuat pada minggu depan selepas proses semakan selesai,” katanya ketika membentangkan Laporan Laksana Ketiga Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat hari ini.

Iklan

Tengku Zafrul berkata, bagi pembayaran fasa pertama BPN sebanyak 7.74 juta penerima telah menerima bayaran yang berjumlah RM5.47 bilion.

Menurutnya, proses bayaran tunai bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank berjalan lancar bermula sejak 17 April lepas dengan lebih 157,000 orang menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.

Iklan

Sementara itu mengenai Dana Pinjaman Mudah PKS yang berjumlah RM6.3 bilion, beliau berkata, sehingga 26 April, sebanyak RM4.5 bilion telah diluluskan untuk 8,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Manakala bagi Geran Khas Prihatin untuk perniagaan mikro, permohonan geran khas ini akan dibuka mulai Jumaat ini.

"Proses permohonan akan diselaraskan dan diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam masa terdekat,” katanya.

Mengenai Program Subsidi Upah pula Tengku Zafrul berkata, sehingga 26 April, permohonan subsidi upah yang diluluskan telah meningkat daripada 159,000 majikan melibatkan sejuta pekerja kepada 195,000 majikan yang melibatkan 1.5 juta pekerja.

"Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.35 bilion, iaitu peningkatan daripada RM1.2 bilion pada minggu sebelumnya,” katanya. - Bernama