KUALA LUMPUR - Akibat menaiki kereta beramai-ramai selepas pulang dari berbuka puasa, dua remaja perempuan masing-masing didenda RM1,000 atau penjara sebulan, oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kedua-dua remaja berumur 19 dan 20 tahun itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa, di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.
Seorang lagi rakan mereka berusia 16 tahun juga mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan dibenarkan diikat RM1,000 dengan seorang penjamin, sementara menunggu laporan akhlak sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman pada 11 Jun.
Fardiana Haryanti turut menasihati ketiga-tiga tertuduh supaya mematuhi arahan kerajaan bagi mengekang koronavirus (Covid-19).
"Kerajaan dah pesan tidak boleh keluar rumah, berbuka sahajalah di rumah... Jadi macam ini, kan dah menyusahkan orang. Nanti, kerajaan sudah bagi keluar, keluarlah. Jangan buat lagi,” katanya.
Mereka didakwa bersama-sama telah bergerak dari Kampung Datuk Keramat ke Jalan Perusahaan Ringan, Off Jalan Kelang, Setapak, yang merupakan dalam kawasan jangkitan, yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, di Wangsa Maju, di sini, pada 10.15 malam, 25 April lepas.
Pertuduhan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ku Amirul Faiz Ku Seman, merayu hukuman berbentuk khidmat masyarakat dengan alasan ini kesalahan pertama dan mereka tidak bekerja, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Rajdeep Singh Bhupinder Singh memohon hukuman setimpal.
Di mahkamah sama dan dua Mahkamah Majistret berasingan 49 individu termasuk enam wanita, dipenjara 14 hari dan ada yang didenda antara RM500 dan RM1,000, selepas mereka mengaku bersalah, berhimpun dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain termasuk mahu membeli makanan, meminjam duit, berjoging dan mahu makan malam di rumah rakan.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh termasuk 19 warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal, Iraq dan Nigeria dipenjara, bermula dari tarikh tangkap antara 16 dan 25 April dan dipenjara dua minggu atau sebulan, jika gagal membayar denda itu.
Kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 60 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Kuala Lumpur antara 16 hingga 25 April.
Di Mahkamah Majistret Selayang, seorang penghantar cendol didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan, selepas keluar rumah untuk menghantar cendol dan tidur di kaunter stesen minyak, kerana motosikalnya kehabisan minyak.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas lelaki berusia 34 tahun itu, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan di sekatan jalan raya, di bawah jambatan Batu Caves-Sri Gombak, Gombak di sini pada 5 pagi, 26 April lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal, kerana tertuduh ditahan pada 5 pagi, bagaimanapun Yus Izuan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, kerana dia keluar rumah untuk menghantar cendol dan apabila ingin pulang ke rumah motosikalnya kehabisan minyak.
"Saya telah keluar rumah pada 5 petang 25 April, untuk pergi bekerja menghantar cendol di Selayang Baru. Apabila ingin pulang ke rumah, motosikal saya kehabisan minyak dan saya tidak sempat untuk mengisi minyak, kerana stesen minyak telah tutup.
"Oleh itu, saya tidur di depan kaunter stesen minyak sehingga pukul 4 pagi pada 26 April, kemudian saya tunda motosikal sehingga ke sekatan jalan raya dan ditahan polis,” jelasnya.
Di mahkamah sama, seorang lelaki berumur 41 tahun dipenjara sebulan atas kesalahan sama, dengan keluar membeli makanan kemudian melepak seorang diri untuk makan, di Jalan 15 Taman Sri Melati, Gombak di sini pada 12.15 malam, 26 April.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 26 April lepas.
Khairunnisak memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan kerana tiada yang datang untuk membayar dendanya. - Bernama