PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) merangka 66 program atau projek yang akan diberi keutamaan pada tahun ini berdasarkan enam teras di bawah Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia meliputi Prasarana (10 program), Ekonomi (lapan program), Keusahawanan (14 program), Modal Insan (sembilan program), Wanita (sembilan program) dan Sistem Penyampaian (16 program).
"Untuk itu, KPLB diberikan peruntukan pembangunan RM5.421 bilion tahun ini bagi menjayakan program-program berkenan, yang melibatkan 584 projek," katanya pada Majlis Amanat Tahun Baru KPLB di sini hari ini.
Rina berkata KPLB juga telah mengenal pasti enam cabaran atau isu utama yang perlu diberi keutamaan bagi memastikan setiap program yang dirangka dapat dilaksana sebaik mungkin bagi mengelakkan pembaziran dan ketirisan.
"Cabaran-cabaran ini adalah pembasmian kemiskinan luar bandar terutamanya di 28 daerah yang dikenalpasti yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000 sebulan, dan kepentingan melaksana kajian outcome impak selepas sesuatu program.
"Lain-lain cabaran adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan di luar bandar memandangkan tidak semua orang boleh atau berminat untuk menjadi usahawan; isu keciciran pelajar di luar bandar; ‘big data analysis’ bagi mendapatkan akses data yang mudah serta cepat; dan pemantauan projek bermasalah," katanya.
Rina berkata, selain program-program prasarana utama seperti pembinaan jalan, bekalan air dan elektrik di luar bandar, tahun ini KPLB juga akan membina 11 premis baharu dan menaik taraf 488 premis taska dan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Selain itu, katanya projek perumahan mampu milik di bawah agensi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dengan sasaran 540 buah rumah serta Projek Pemajuan Kawasan yang melibatkan 15 projek, akan dilaksanakan pada tahun ini.
Katanya, beliau juga berharap program ekonomi yang dirangka pada tahun ini seperti Pembangunan Belia Luar Bandar, Program Peningkatan Pendapatan Prospek, Program Rural Tourism @KPLB dan Pembangunan Premis Ekonomi Luar Bandar; dapat membantu membasmi kemiskinan seramai 85,273 ketua isi rumah di luar bandar di bawah kategori miskin dan miskin tegar.
Sementra itu Rina berkata, Karnival Keusahawanan Desa pada tahun ini akan dimulakan dengan jelajah KUD di Terengganu pada April, Kedah (Jun), Sabah (Ogos) dan acara kemuncaknya di Lembah Klang pada Oktober.
Bagi pembangunan modal insan pula, antara program utama adalah Skim Pinjaman Pendidikan Mara yang akan memberi manfaat kepada 50,147 orang pelajar melalui peruntukan RM2 bilion, katanya. - Bernama