KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk membenarkan sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu, dua dan tiga meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing bermula esok.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata, syarikat dalam sektor yang dibenarkan ini wajib mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi sektor masing-masing.
Iklan
Iklan
"Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berkata, syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi sebelum ini tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran tersebut.
Menurutnya, inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik serta luar negara dan sekali gus akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana.
"Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan 'kebiasaan baharu' dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan