WALAUPUN tiada bazar Ramadan pada tahun ini, ia tidak menghalang orang ramai menikmati juadah kegemaran, daripada martabak, roti john, ayam percik dan kambing bakar hinggalah kuih-muih seperti badak berendam, puteri mandi dan tepung pelita.
Wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ternyata telah mengubah konsep perniagaan makanan berbuka puasa daripada tapak bazar ke platform media sosial.
Berdasarkan tinjauan, banyak grup bazar Ramadan ditubuhkan di Facebook dan WhatsApp, yang mewakili bandar, kampung dan taman perumahan di seluruh negara.
Dari bandar raya Johor Bahru dan Kuching, sampailah kawasan luar bandar seperti Baling dan Gua Musang, masing-masing ada bazar online masing-masing di laman sosial untuk para peniaga menjual produk.
Ini termasuklah Bazar Ramadan Online Sarawakku Sayang yang mempunyai 55,000 ahli, Bazar Ramadan Online Muar (19,000 ahli) dan Bazar Ramadan Shah Alam Online Official 2020 (17,000 ahli).
Kawasan kecil dan terpencil juga tidak ketinggalan, contohnya, Bazar Ramadhan Cameron Highlands (1,600 ahli) dan Bazar Ramadan Online Kemaman (7,000 ahli).
Sesetengah pengendali tapak bazar online ini akan memantau grup masing-masing dari masa ke masa bagi memastikan hanya produk berkaitan puasa dan raya dipasarkan. Hantaran yang tidak berkaitan atau tidak sesuai akan dipadam.
Rata-rata grup berkenaan pula percuma kecuali beberapa grup yang memerlukan ahli membayar yuran sebagai kos perkhidmatan untuk pengendali menyelaraskan hantaran.
Bagaimanapun, perniagaaan dalam talian mungkin bukan medium yang mudah buat sesetengah peniaga dan pengguna. Cara memasarkan produk di alam maya pastilah berbeza berbanding di dunia sebenar. Selain perlu celik teknologi, peniaga juga harus kreatif mengiklankan produk untuk menarik selera pembeli.
Apa yang penting, peniaga jangan tamak atau membuatkan pembeli berasa tertipu. Rungutan seperti makanan yang dihantar tidak sama seperti dalam gambar atau makanan basi, hanya akan menyebabkan bazar Ramadan online kurang dipercayai lagi.
Bagi pengguna, sungguhpun bazar online mungkin tidak semeriah bazar Ramadan sebenar kerana tidak dapat menjamu mata dan menghidu aroma pelbagai juadah. Namun, ia dapat menyelamatkan pembaziran makanan serta wang mereka.
Apatah lagi data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan bazar Ramadan yang mempunyai 200 hingga 300 gerai menyumbang kepada purata 200 kilogram makanan dibazirkan setiap hari manakalah bazar Ramadan bersaiz sederhana mencatatkan purata pembaziran sehingga 100 kilogram sehari.
Ternyata, inilah sebahagian norma baharu kesan daripada Covid-19.