Enam daerah di Terengganu kini di zon hijau

Iklan
Status terkini Covid-19 Terengganu. - Foto Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Kuala Terengganu menjadi daerah terbaharu diisytiharkan sebagai zon hijau, menjadikan enam daerah di Terengganu kini berada di zon itu apabila tiada kes baharu koronavirus (Covid-19) dalam tempoh 14 hari daripada kes terakhir dilaporkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus berkata, selain Kuala Terengganu, daerah Hulu Terengganu, Marang, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman juga berada di zon hijau.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, dua lagi daerah iaitu Besut dan Dungun berada di zon kuning.

"Kuala Terengganu adalah daerah terbaharu yang diisytiharkan sebagai zon hijau manakala lima daerah yang lain pula diisytihar secara berperingkat.

Iklan

"Daerah Hulu Terengganu pula menjadi satu-satunya daerah yang mencatatkan sifar kes Covid-19 setakat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, apabila tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 14 hari, ia bermakna wabak Covid-19 di daerah berkenaan sudah berakhir.

Iklan

Bagaimanapun, beliau menegaskan agar masyarakat masih perlu memberikan kerjasama dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Sementara itu, berdasarkan status terkini Covid-19 yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, jumlah kes yang direkodkan di negeri ini adalah sebanyak 110 kes.

Daripada jumlah itu, 70 kes sudah sembuh, 39 kes sedang dirawat dan satu kematian direkodkan.