SIAPA yang tidak cemburu melihat orang kaya yang pemurah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
Apatah lagi, sejak kecil Merak Jalanan diberitahu ganjaran pahala amalan pada bulan mulia ini berlipat kali ganda.
Tatkala umat Islam di seluruh dunia berpuasa ketika musim Covid-19 ini, banyak insan berhati mulia muncul di seluruh dunia.
Ini termasuklah bintang bola sepak beragama Islam seperti Mohamed Salah dan Mesut Ozil. Salah yang merupakan bintang Liverpool dilaporkan mendermakan bertan-tan makanan dan daging segar untuk membantu keluarga di bandar kelahirannya, Nagrig, Mesir yang terkesan akibat wabak. Difahamkan derma disumbangkan Salah bernilai sekitar RM2.2 juta.
Pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil sejak sebelum Ramadan lagi sering menanggung kos pembedahan kanak-kanak yang berpenyakit selain memberi sumbangan makanan kepada 100,000 orang yang kehilangan tempat tinggal di 16 kem pelarian di Turki dan Syria.
Merak Jalanan sedar mungkin ada orang mengatakan nilai sumbangan itu tidak seberapa berbanding pendapatan kedua-dua pemain itu. Gaji Salah ialah sebanyak RM1.09 juta seminggu manakala Ozil RM1.88 juta seminggu.
Namun begitu, seorang ustaz beritahu Merak Jalanan, besar kecil pahala bukan semata-mata dinilai berdasarkan jumlah harta yang disumbangkan tetapi juga niat ikhlas seseorang.
Justeru, katanya, usah resah meskipun ketika kesempitan akibat wabak sekarang kerana bersedekah sewaktu sempit itulah sebaik-baik perbuatan.
Ibarat pepatah, bagaimana besarnya periuk, begitulah besarnya kerak. Jadi, kalau pendapatan besar, perbelanjaan pun besar, begitu juga sumbangan yang sepatutnya besar juga.
Jika kita tidak boleh meneladani orang kaya yang pemurah ini, jangan pula bersikap iri hati sehingga buruk sangka dan mengatakan yang bukan-bukan pula.