SHAH ALAM - UMNO Selangor mengumumkan penstrukturan semula kepimpinan parti melibatkan dua jawatan penting membabitkan jawatan setiausaha dan Ketua Penerangan UMNO Selangor yang baharu.
UMNO Selangor dalam kenyataannya berkata, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari dilantik sebagai Setiausaha UMNO Selangor baharu.
Menurut kenyataan itu, jawatan Ketua Penerangan UMNO Selangor masih kekal disandang, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abd Rahman Bakri.
"Berdasarkan pada Fasal 12.3 Perlembagaan UMNO, jawatan Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan perlu dilantik Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Negeri dan akan memegang jawatan tersebut selama tempoh Majlis Tertinggi kecuali mereka berhenti atau diberhentikan oleh
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri," kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar kembali menerajui kepemimpinan UMNO Selangor apabila dilantik sebagai pengerusi, menggantikan Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkuat kuasa 21 April lalu.
Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin kekal sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Selangor.