SHAH ALAM - Pengalaman selama 16 tahun bergelar pramugari pastinya meninggalkan seribu satu kenangan pahit manis buat pemilik nama Tun Norashikin Mohd Nor.
Mesra dipanggil Shikin, anak jati Kuala Lumpur berusia 39 tahun ini memulakan kariernya di Malaysian Airlines (MAS) dari tahun 2004 hingga 2015, diikuti FlyNas Arabia dari tahun 2016 hingga 2017 dan kini berkhidmat di AirAsia.
Namun, rutin kerjayanya di awan biru kini terhenti seketika akibat krisis Covid-19 yang bukan sahaja melumpuhkan industri penerbangan malah turut menjejaskan operasi syarikat- syarikat penerbangan termasuk para pekerjanya.
"Bermula dari pertengahan bulan Mac, kakitangan digalakkan mengambil cuti atau cuti tanpa gaji secara berkala atau mengikut kesesuaian masa mereka,” kata Shikin kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, AirAsia kini berada dalam hibernation mode (mod hibernasi atau tidak aktif), istilah yang digunakan apabila semua operasi diberhentikan seketika sehingga keadaan kembali pulih.
"Tempoh hibernation mode ini adalah lebih kurang tiga bulan atau lebih bergantung kepada keadaan semasa,” kata Shikin yang kini menumpukan masa bersama keluarga selain melakukan pelbagai aktiviti termasuk mengikuti kelas dalam talian yang disediakan pihak syarikat bagi meningkatkan kemahiran kakitangan.
Bagi dirinya yang telah sekian lama berkhidmat, masa terluang ini digunakan untuk berehat daripada jadual tugas yang padat sebelum ini.
"Rindu sudah pasti, 16 tahun di udara, ia adalah kehidupan saya.
"Bertukar destinasi, zon waktu, waktu tidur, waktu makan selain bertukar dan bertemu rakan penerbangan yang berbeza adalah satu kerinduan setelah telah lama tidak bertugas,” luah Syikin apabila ditanya perasaannya ketika ini.
"Jika mengikut perancangan, bermula bulan Jun adalah masa yang ditetapkan untuk kembali bertugas, namun ia bergantung kepada situasi semasa.
"Tempoh tiga bulan pertama adalah penanda aras untuk syarikat mengenal pasti corak situasi semasa dan permintaan penumpang. Semestinya ia waktu yang sukar untuk syarikat beroperasi semula selepas tempoh hibernation,” katanya lagi.
Shikin menambah, impak pandemik yang bersifat global menyebabkan kebanyakan syarikat penerbangan terjejas.
"Rakan-rakan saya di Malindo dan MAS juga menerima kesan akibat pandemik Covid-19.
"Kebanyakannya semua terkesan teruk. Banyak jadual kerja dibatalkan atas sebab keselamatan dan polisi negara,” katanya.