HULU SELANGOR - Polis menahan seramai 238 individu termasuk kanak-kanak dan bayi selepas menggempur penempatan di Kampung Hulu Rening, Batang Kali, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarrudin berkata, operasi kira-kira jam 5 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor susulan aduan awam mengenai pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, mereka tinggal daif di dalam khemah yang disediakan dengan memasak makanan sendiri dan kelihatan seperti petani," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Katanya, kawasan hutan itu sudah diteroka dan terdapat banyak khemah plastik yang digunakan sebagai tempat berteduh.
"Siasatan awal mendapati kesemua mereka datang dari pelbagai negeri dan bernaung di bawah badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar.
"Berdasarkan soal siasat ke atas salah seorang ahli, NGO tersebut telah membeli tanah seluas 2.4 hektar untuk dijadikan pusat pertanian tradisional," katanya.
Tambahnya, kesemua mereka telah dibawa ke Dewan Serbaguna Kuala Kubu Baru untuk tujuan saringan data peribadi dan dokumentasi.
Operasi ini turut dijalankan dengan kerjasama Pejabat Tanah Daerah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Penyakit Berbahaya 2020 serta Seksyen 22(b) Akta Peraturan Penyakit-Penyakit Berjangkit 1988.