SHAH ALAM- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di Cameron Highlands hari ini, menyampaikan pesanan kepada pesaing politiknya agar tindak salah tafsir mengenai kehadirannya tersebut.
Katanya, kehadirannya itu bukan sempena PRK Cameron Highlands, sebaliknya hanya mahu memetik buah strawberi yang sememangnya sinonim dengan kawasan tanah tinggi itu.
Justeru beliau secara sinis, berharap PH tidak 'mengelabah' atas kunjungan beliau.
"Dah sampai Cameron Highlands.Saya datang ini nak beli strawberi saja.
"Jangan stress sangat lah DAP," sinisnya yang turut berkongsi beberapa keping gambar bersama penduduk tempatan di Facebooknya.
Kempen PRK Cameron Highlands kini makin hangat, di mana calon-calon parti yang bertanding giat mengadakan kempen.
PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, BN dan Bebas.
Penyandang kerusi ini iaitu BN mencalonkan Ramli Mohd Nor yang merupakan bekas pegawai kanan polis.
PH pula mempertaruhkan calon kitar semula, M Manogaran yang pernah tewas dua kali itu dalam PRU14 dan PRU13 lalu.
Manakala, dua calon Bebas membuat kejutan turut bertanding iaitu Wong Seng Yee dan Salehuddin Ab Talib.
Tan Sri M Kayveas yang sebelum ini mengumumkan bakal bertanding menarik diri sebagai calon Bebas sebaliknya berpendirian menyokong PH.
Kerusi Parlimen Cameron Highlands dikosongkan selepas kemenangan penyandangnya, Datuk C Sivaraajh dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam PRU lalu, Sivaraajh menang dengan 10,307 undi menewaskan empat calon lain, Manogaran - PH (97,10), Wan Mahadir Wan Mahmud-Pas (3,587), B.Suresh Kumar-PSM (680) dan Mohd Tahir Kassim-Bebas (81)
Pengundi Parlimen Cameron Highlands bakal membuang undi 26 Januari ini bagi menentukan wakil rakyat baharu.