KOTA BHARU - Hampir 53 peratus rakyat Malaysia berdepan tekanan menguruskan kewangan terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Ketua Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Cawangan Kelantan, Mohd Rizauddin Noor berkata, peratusan tersebut diperoleh daripada tinjauan khas Jabatan Statistik Malaysia membabitkan kesan selepas Covid-19 ke atas ekonomi dan individu di Malaysia.
Tinjauan juga katanya, sebanyak 71 peratus rakyat yang bekerja sendiri menyatakan simpanan kewangan yang mereka ada cukup untuk satu bulan sahaja.
"Bagaimanapun, kami menasihatkan supaya tidak panik kerana inilah masa terbaik untuk merancang pelan belanjawan yang sistematik sendirian atau bersama pasangan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, masyarakat disaran memastikan setiap perbelanjaan dirancang mengikut kemampuan aliran tunai semasa isi rumah dan perlu mengelakkan pembaziran.
Mohd Rizauddin memberitahu, orang ramai perlu menangguhkan kehendak ketika berdepan dengan krisis kewangan.
"Banyak lagi yang boleh lakukan untuk merancang kewangan dengan lebih baik. Mereka boleh melayari modul pembelajaran dalam talian iaitu Mengharungi Cabaran di power.akpk.org.my.
"Ikuti pembelajaran atas talian ini untuk melihat bagaimana kita boleh menyediakan diri bagi menghadapi situasi yang genting," katanya.