Ketepikan kepentingan politik, terus bangunkan Johor

Iklan
Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU - Parti dalam gabungan Perikatan Nasional di Johor perlu mengetepikan kepentingan masing-masing sebaliknya terus mentadbir dan mengukuhkan negeri ini dengan berkesan menerusi strategi serta perancangan terbaik.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Perikatan Nasional harus membongkar potensi dan terus memajukan negeri ini dengan visi yang jelas serta pentadbirannya perlu berpandu nilai dan amalan terbaik.

Iklan
Iklan

"Ini adalah kayu ukur sebenar ketahanan Perikatan Nasional. Perikatan Nasional yang berkelangsungan adalah apabila ia boleh mengemukakan jawapan dan penyelesaian kepada kemelut kehidupan dan pembangunan Johor.

"Jika ia boleh menguruskan Johor dengan elemen pembaharuan, kemajuan dan pembangunan pesat, Perikatan Nasional pasti akan menjadi gabungan diterima walaupun tanpa kerjasama politik yang mengikat, kemas dan teruji," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Kelmarin, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri dalam satu kenyataan mendakwa gabungan itu di Johor dilihat rapuh dan meminta meminta parti lain yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.

Mohd Solihan mendakwa, 11 wakil rakyat parti itu serta seorang wakil bebas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai peranan penting untuk menentukan gabungan Perikatan Nasional terus utuh sehingga pilihan raya umum akan datang.

Iklan

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, hanya Johor yang merasai perubahan dan pembangunan akan menyelamatkan Perikatan Nasional serta bukannya angka atau jumlah kerusi.

"Maka gunakan segala angka dan kerusi di DUN itu untuk memberikan kelainan dengan memajukan Johor dan bukan untuk saling melemahkan.

"Perikatan Nasional tidak ditubuhkan dengan mandat rakyat dan harus mengenepikan segala kepentingan lain kecuali kepentingan rakyat," katanya.

Menurutnya, gabungan itu lahir secara tidak dijangka dan UMNO tampil dengan persefahaman untuk sama-sama mengurus keadaan politik sebelum ini yang sudah pasti memerlukan eksperimen politik dengan cabaran tersendiri.

"Selagi semua pihak bermain politik angka, tiada siapa yang akan menang. Bersatu dengan 11 kerusi dan UMNO 16 kerusi tidak akan ke mana tanpa keduanya saling bersefahaman untuk tujuan yang lebih besar dan ideal.

"Perikatan Nasional di Johor akan kekal selagi kedua-duanya ada persefahaman, dalam masa sama tidak menolak segala kemungkinan boleh berlaku dalam politik," katanya.