PKP fasa 4 benarkan satu keluarga keluar berdua

Iklan
Peniaga dan pekerja pasar beratur mengikut jarak yang ditetapkan pada saringan ke atas peniaga dan pekerja Pasar Taman Megah. -Foto Bernama

SHAH ALAM - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat yang bermula hari ini membenarkan ketua keluarga yang keluar membeli makanan, ubat-ubatan atau barangan keperluan harian membawa seorang lagi ahli keluarga bersama.

Kebenaran itu berdasarkan kemas kini Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.

Iklan
Iklan

Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.

Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain untuk disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.

Iklan

Sebelum ini, orang ramai hanya dibenarkan untuk membeli barang keperluan dalam jarak lingkungan 10 kilometer dengan seorang sahaja dari rumah masing-masing bermula 1 April lalu selepas PKP fasa kedua dilaksanakan.

Perkara itu terkandung dalam syarat-syarat pergerakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang digazetkan semalam.

Iklan

Berdasarkan syarat tersebut, seseorang hanya dibenarkan untuk membeli makanan, keperluan harian dan ubat.

Selain itu, peraturan itu menetapkan seorang sahaja dibenarkan untuk keluar dari rumah kecuali dengan alasan munasabah.

Ia dikuatkuasakan mulai 1 April hingga 14 April lalu.

Mereka yang didapati melanggar syarat itu akan dikenakan hukuman penjara selama enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.