KUALA LUMPUR - Tiada kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dijangkiti koronavirus (Covid-19) kerana sentiasa mengekalkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, DBKL mengutamakan alat perlindungan diri sepanjang bertugas selain diwajibkan membuat saringan Covid-19.
Menurutnya, petugas DBKL antara terdedah dengan risiko jangkitan kerana menjadi antara petugas barisan hadapan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan setakat ini seramai 85 anggota DBKL telah menjalani ujian swab.
"Alhamdulillah tiada kes positif Covid-19 kerana kita sangat mematuhi SOP KKM," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Nor Hisham berkata, mereka terlibat di lapangan bagi kerja sanitasi awam termasuk pasar awam, mengurus keperluan dan penyediaan makanan kepada gelandangan di pusat penempatan sementara.
Beliau berkata, DBKL turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menguruskan penghantaran makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketkan (PKPD) di Menara Plaza City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion serta Pusat Bandar Utara serta sekitar Pasar Borong KL.
Dalam perkembangan berasingan, Nor Hisham memaklumkan kerja pembersihan di Pasar Harian Selayang dilaksanakan pagi ini.
"Semburan dilaksanakan pada jam 7 pagi tadi diikuti kerja memunggah tong ikan busuk untuk dimasukkan dalam tong roro untuk dibawa keluar dari lokasi.
"Pasar Harian Selayang ditutup sejak 21 April lalu berikutan PKPD yang dilaksanakan di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong KL sehingga satu jangka masa waktu yang akan diumumkan kelak," katanya.