KOTA KINABALU - Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum mencadangkan kerajaan melakukan audit terhadap undang-undang negara berkaitan hak-hak pribumi bagi memastikan ia selaras dengan deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata, langkah ini penting memandangkan belum ada audit menyeluruh dijalankan berhubung perkara itu bagi mengenal pasti sama ada undang-undang berkaitan hak-hak pribumi di negara ini selaras atau tidak dengan deklarasi berkenaan.
"Saya berharap undang-undang di Sabah mahupun Malaysia (secara keseluruhannya) mengikut dalam deklarasi PBB, yang mana, satu deklarasi PBB itu menyatakan hak-hak orang asal patut dilindungi.
"Atas sebab itu, sekarang kita perlu audit untuk melihat sama ada undang-undang kita (mengenai hak-hak pribumi) selaras atau bercanggah dengan deklarasi tersebut.
"Jika (ada yang masih bercanggah), maka, kita (kerajaan) perlu mengubah suai undang-undang tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan ‘Borneo Rainforest Law Conference 2019’ di sini, hari ini.
Persidangan sehari disertai 325 peserta dalam dan luar negara itu dianjurkan oleh Pertubuhan Undang-undang Sabah dengan kerjasama Majlis Jaksa-Jaksa Pendamai Sabah (MAJAPS) dan Pusat Sumber Adat dan Mediasi Kaum Anak Negeri Sabah (Pusaka).
Persidangan itu adalah platform bagi memahami secara lebih mendalam berkaitan hak-hak pribumi dan perkembangan undang-undang mengenai komuniti itu di era globalisasi kini.
Malanjum berkata kerajaan perlu terus komited melindungi hak-hak pribumi dalam dunia semakin mencabar sekarang bagi menjamin masa depan komuniti itu yang lebih cerah.
Justeru, beliau juga berharap satu kertas cadangan dapat dikemukakan kepada kerajaan selepas persidangan itu bagi mengkaji semula kedudukan sebenar komuniti pribumi di Malaysia ketika ini.
Malanjum turut mencadangkan kepada kerajaan supaya menggantikan terma anak negeri kepada orang asal sebagai antara usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap komuniti tersebut.
Menurutnya, terma anak negeri memberi konotasi negatif kerana kebanyakan masyarakat dilihat masih menyifatkan komuniti tersebut tidak membangun dan ketinggalan zaman.
Malanjum juga menggalakkan komuniti pribumi lebih memilih proses mediasi berbanding ke mahkamah dalam menyelesaikan isu dihadapi seperti pemilikan tanah bagi mencapai keputusan menang-menang selain mengelak konflik berlarutan.
Sementara itu, Pembantu Menteri Hal Ehwal Undang-undang dan Anak Negeri Sabah, Jennie Lasimbang berkata, Sabah telah memulakan pelaksanaan hak-hak pribumi berdasarkan deklarasi PBB seperti menjalankan latihan kepada pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung bagi memberi pemahaman menyeluruh mengenai perkara itu.
Kerajaan negeri juga akan sentiasa memantau perkembangan undang-undang berkaitan hak-hak pribumi ke arah memperkasa komuniti itu, katanya. - Bernama