KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang lelaki menziarahi neneknya pada waktu malam mengundang padah apabila dijatuhi hukuman empat hari penjara dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Muhammad Azim Mustaqim Mustafa, 25, dari Kampung Tok Jiring, di sini turut berdepan hukuman penjara tambahan sebulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat selepas dia yang tidak bekerja mengaku salah bergerak dengan menunggang motosikal di tepi jalan Losong Haji Mat Shafie hadapan Sekolah Menengah Sultan Ahmad di sini.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu untuk menziarahi neneknya di rumah di lokasi berkenaan, jam 11.30 malam, semalam.
Selain itu, dua lagi individu, Muhammad Firdaus Fikri Madzlan, 20, dan Muhamad Aidil Mahari, 23, juga berdepan nasib sama selepas mengaku salah melakukan kesalahan sama dengan bergerak dari rumah masing-masing malam semalam.
Muhammad Firdaus Fikri mengaku melakukan kesalahan itu dengan bergerak dari rumahnya di Kampung Losong Ferry, di sini ke sekitar kawasan Jalan Tangki Air, Kampung Losong Mat Shafie di sini.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11.10 malam, pada 28 April lalu dengan memberi alasan dalam perjalanan balik ke rumah selepas menghantar beras ke rumah kawannya.
Manakala bagi Muhamad Aidil dari Bukit Payong, Marang mengaku melakukan kesalahan itu dengan bergerak dari rumahnya ke tepi jalan Gelugor Kampung Sungai Pinang, di sini, jam 11.30 malam, semalam.
Dia mengaku melakukan kesalahan tersebut dengan memberi alasan hanya untuk pergi bermain daun terup di lokasi berhampiran.
Dua lagi individu, Muhammad Yazid Mohd Rosli, 23, dan Mohamad Syazwan Aminuddin, 29, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua dan lima hari dan denda RM1,000 atau sebulan lagi penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.
Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas kelima-lima individu ini mengaku salah atas pertuduhan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang dibacakan secara berasingan.
Jika disabitkan kesalahan itu, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala kesemua mereka diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein.
Terdahulu, Ka Full meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana alasan diberikan oleh kesemua individu itu adalah langsung tidak munasabah.
"Tindakan mereka ini bukan hanya memberi risiko kepada diri sendiri, malah turut mengundang risiko kepada orang lain.
"Meskipun kes koronovirus (Covid-19) sejak kebelakangan ini menunjukkan perkembangan semakin positif, tetapi kita tidak boleh mengambil mudah dan pandang ringan berkait permasalahan ini," katanya.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan bermula tarikh masing-masing ditangkap.