KUALA LUMPUR - Sebarang pertukaran pemilikan melibatkan tanah mahupun bangunan dalam dalam kes pencerobohan dua lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang di sini, tidak akan mengecualikan siasatan terhadap proses pembangunan tanah berkenaan.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata, dalam kes itu, penjualan tanah kepada pemilik bangunan bergantung kepada keputusan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan selaku pemilik.
"Jika dijual, ia adalah berdasarkan nilai semasa. Namun ia bergantung kepada kerajaan sama ada mahu jual atau tidak.
"Disebabkan itu tanah PTG (kerajaan), PTG berhak ke atas bangunan. Jadi jika tidak tukar pemilikan tanah, kena tukar pemilikan bangunan.
"Harga jualan tanah yang perlu dibayar juga termasuk dengan bayaran premium dan denda yang akan dikenakan. Namun itu tidak mengecualikan pemilik bangunan dari sebarang siasatan SPRM,” katanya.
Semalam Khalid mendedahkan isu penyelewengan dua lot tanah berkenaan yang dibangunkan oleh sebuah syarikat sedangkan status tanah masih milik kerajaan.
Dua lot tanah seluas 0.14 hektar (16,000 kaki persegi) itu pada asalnya adalah taman permainan dan kawasan lapang yang dipenuhi pokok-pokok tetapi kini sudah digantikan dengan sebuah bangunan pejabat enam tingkat serta gerai buah-buahan.
Siasatan dalaman yang dilakukan unit integriti Kementerian Wilayah mendapati penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dipercayai berlaku sejak Mac 2015.
Pemilik syarikat diberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk kemukakan permohonan pemilikan tanah dan beli dengan harga pasaran dan bayar segala premium tanah, kelulusan pembangunan dan denda yang akan dikenakan.