KUALA SELANGOR - Seorang bapa tiga anak mencuri tumpuan apabila gambarnya menyediakan juadah berbuka puasa di laman rumahnya yang dilanda banjir di Batu 7 Ijok di sini tular di laman sosial.
Mohd Razak Md Basir, 34, beliau sengaja mencari kelainan pada Ramadan kali ini yang kebetulan pekarangan rumahnya itu dinaiki air.
"Saya sengaja ambil gambar dan memuat naik status di Facebook tapi tak sangka pula tular," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, beliau menyediakan kira-kira 30 ayam percik sebagai juadah berbuka kepada keluarga dan jiran terdekat.
Katanya, menu itu disediakan selama sejam bermula kira-kira jam 6 petang semalam.
Beliau berkata, sejak gambar itu tular di Facebook beliau menerima banyak tempahan daripada orang ramai yang inginkan ayam percik.
"Saya beritahu mereka saya memanggang ayam percik bukan untuk dijual, sebaliknya sekadar suka-suka dan memberi nombor telefon rakan yang menjual makanan itu," katanya.
Mohd Razak berkata, penduduk di kampung itu sering berdepan kejadian banjir berikutan masalah sistem perparitan tidak sempurna.
"Boleh kata dua kali setahun rumah saya dinaiki air dan keadaan ini semakin buruk sejak dua tahun kebelakangan ini," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan hujan lebat lebih tiga jam mengakibatkan kira-kira 10 rumah penduduk di Batu 7 Ijok di sini dilanda banjir kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku mengakibatkan kediaman yang menjadi tempat berlindung penduduk sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) terjejas.