SINGAPURA - Seorang penghantar makanan yang berkongsi kisahnya dihadiahkan 4Fingers sebagai juadah berbuka puasa oleh pelanggannya mendapat perhatian netizen.
Perkara tersebut dikongsikan Malik Matin menerusi ciapannya di Twitter meluahkan rasa terharu atas tindakan murni pelanggannya.
"Malam pertama Ramadan dan semoga lelaki ini dirahmati, tidak kiralah siapa pun anda,” ciap Malik.
Dalam pada itu, Malik juga turut sertakan paparan perbualan antara dia dan pelanggan berkenaan menerusi ciapan tersebut.
"Hai Malik, sekiranya anda telah mengambil pesanan saya dari 4Fingers maka anda tidak perlu menghantarnya ke rumah saya. Itu adalah makan malam anda, selamat menjamu selera,” tulis pelanggan berkenaan.
Malik yang terharu dengan perkara tersebut mengucapkan terima kasih kepada pelanggan berkenaan.
"Saya melihat banyak kisah pelanggan memberikan makanan kepada penghantar makanan dan hari ini saya telah menjadi salah satu darinya,” kata Malik.
Ciapan tersebut mendapat 15,500 tanda suka dan 9,400 ulang kicau. Netizen rata-ratanya memuji tindakan pelanggan berkenaan.
"Ini adalah satu insiden yang baik untuk dicontohi,” ciap Nicolas Chan.
"Sama lah kita,” ciap Azrin Novan yang turut mengalami situasi sama.