TEMERLOH - Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan mendera dua anak perempuannya termasuk dengan menyimbah air panas, minggu lepas.
Tertuduh berusia 36 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Balkis Zunaidi.
Dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap anaknya yang berusia 9 tahun dengan menyimbah air panas ke dahi kanak-kanak tersebut di sebuah rumah di kawasan perumahan di Triang, Bera, pada jam 8.30 malam, 24 April lepas.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana memukul anaknya berusia 8 tahun di tempat dan masa yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh ditangkap pada hari yang sama selepas isterinya membuat laporan polis berhubung perbuatannya terhadap anak kedua dan ketiga mereka.
Timbalan Pendakwa Raya, R Navini tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan bimbang mangsa akan diganggu memandangkan mereka tinggal serumah dengan tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mazieera Sharifudin merayu mahkamah membenarkan jaminan kerana tertuduh perlu menjaga lima anaknya memandangkan isterinya dimasukkan ke hospital hari ini kerana hendak bersalin.
Nurul Balkis bagaimanapun tidak membenarkan jaminan kerana bimbang tertuduh mengugut mangsa dan memerintahkan semua anak tertuduh diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat sementara waktu.
Beliau menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman. - Bernama