MyCC perlu desak gergasi teknologi bayar kandungan berita

Iklan
Mustapha Kamil

SHAH ALAM - Organisasi media di Malaysia meminta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendesak syarikat gergasi teknologi seperti Google dan Facebook untuk membayar kandungan berita mereka.

Memetik laporan The Star hari ini, sepucuk surat telah dihantar oleh Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) ke MyCC semalam berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

Pengerusi MNPA, Mustapha Kamil Mohd Janor berkata, pihaknya hanya meminta bahagian yang adil hasil daripada iklan yang dihasilkan oleh syarikat teknologi itu menggunakan kandungan daripada organisasi media di negara ini.

"Selama lebih 15 tahun, Facebook dan Google telah menggunakan semula kandungan yang dihasilkan kami menerusi pelaburan yang dikeluarkan bagi menjana keuntungan mereka.

Iklan

"Kami hanya meminta bahagian yang adil daripada hasil iklan yang mereka terima melalui kandungan kami. Kehilangan pendapatan berpotensi ini mengakibatkan kita terpaksa memberhentikan pekerja yang mana akan memberi kesan kepada ramai rakyat Malaysia.

"Kami berharap kerajaan akan membantu industri akhbar. Inilah saat di mana kita sangat memerlukan setiap ringgit untuk terus bertahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Pada 21 April lalu, Bloomberg melaporkan bahawa kerajaan Australia mengeluarkan kod arahan mandatori pertama di dunia yang akan memaksa Google dan Facebook untuk membayar syarikat media di negara itu kerana menyiarkan berita mereka.

Laporan itu turut menyebut bahawa langkah Australia itu bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan kuasa antara gergasi teknologi dan media tradisional.

Mengulas lanjut, Mustapha yang juga Ketua Pegawai Eksekutif News Straits Times Press (M) Bhd berkata, kod wajib itu ditulis oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia untuk memaksa Google serta Facebook untuk memberi ganti rugi kepada syarikat berita kerana menggunakan kandungannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Andreas Vogiatzakis berkata, dalam era di mana harta intelek merupakan sesuatu yang penting, ia hanya adil apabila syarikat media diberikan pampasan sewajarnya berdasarkan kepada maklumat yang dihasilkan oleh mereka digunakan untuk keuntungan oleh pihak ketiga.

"Semua organisasi media di negara ini dan badan industri seperti MNPA serta Persatuan Pakar Media (MSA) menyokong langkah ini," katanya.