Kenangan kanvas seni Samudera

Iklan
Foto kenangan kumpulan Samudera yang popular pada era 1990-an. Belakang dari kiri, A'ai, Tajul dan Allahyarham Jimmy. Duduk ialah Allahyarham Ujang.

SELEPAS hampir 25 tahun berkawan, anggota kumpulan rock popular era 1990-an, Samudera baru mengetahui bahawa vokalis mereka, Allahyarham Ujang berasal dari negara seberang, Indonesia.

Rahsia itu adalah antara kenangan lucu buat pemain dram Samudera, A’ai, Tajul (gitaris) dan Allahyarham Azizan Hamid atau Jimmy (bass) sehinggakan mereka gelak besar ketika sesi rakaman lagu Kerinduan dan Misteri Pusara Lama sekitar tahun 2012.

Iklan
Iklan

Menceritakan memori tersebut, A’ai atau Mohd Azhar Ropei berkata, rahsia itu terbongkar selepas mereka ingin membuat salinan kad pengenalan anggota kumpulan yang popular dengan lagu Salam Sejahtera itu.

"Ketika itu pada bulan Ramadan, syarikat rakaman kami iaitu Rock Records Malaysia Sdn Bhd suruh kami rakam lagu baharu selepas sekian lama menyepi.

Iklan

"Saya hubungi Ujang, Tajul dan Jimmy supaya datang ke Kuala Lumpur untuk buat lagu.

"Ujang datang dari Johor menaiki bas dan kami ambil dia di KL Sentral dan ketika itu kami sempat bersahur bersama-sama,” katanya yang kini menetap di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Iklan
Anggota Samudera yang baharu. Dari kiri, Epul, Azmi, Jedd Black, Aimi dan A'Ai.

Menceritakan detik itu A’ai berkata, semasa di dalam studio, semua anggota Samudera mengeluarkan kad pengenalan masing-masing untuk dibuat salinan bagi urusan kontrak dan pembayaran royalti.

Namun, apa yang melucukan adalah apabila Ujang atau nama sebenarnya Sarfen Husin memiliki kad pengenalan penduduk tetap.

"Menurut Ujang, dia dibawa ayah angkatnya ketika berusia 11 tahun dari Indonesia untuk menetap di Senggarang, Batu Pahat, Johor,” ujar A’ai.

Itu adalah antara memori yang tidak dapat dilupakan kumpulan Samudera sebelum mereka dikhabarkan Ujang meninggal dunia di rumahnya di Felda Palong Timur, Segamat, Johor pada 31 Januari 2017.

Selepas Ujang, pemain gitar bass, Jimmy pula dijemput Ilahi pada 17 November 2017 di Rengit, Batu Pahat, Johor ketika sedang tidur selepas melakukan persembahan di daerah itu.

Selepas hampir 29 tahun aktif dalam industri muzik tanah air, kini kumpulan Samudera dianggotai A’ai, Jedd Black (bass), Azmi (gitar utama) dan Aimi sebagai vokalis baharu untuk meneruskan perjuangan.