MARii bantu PKS hadapi era pasca PKP

Iklan
MADANI

CYBERJAYA - Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bersedia untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan tahap pendigitalan seiring dengan perubahan ekosistem perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan kelak.

Ketua eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari dalam kenyataannya berkata, sebagai salah satu agensi kerajaan, pihaknya telah membangunkan beberapa program membantu PKS menerapkan teknologi digital di dalam operasi harian.

Iklan
Iklan

"Selepas PKP berakhir, kita bakal melihat perubahan kepada corak dan tingkah laku pengguna yang akan lebih berhati-hati dan cenderung kepada membeli secara atas talian sekaligus mengakibatkan perniagaan yang tidak biasa dengan teknologi menjadi kurang relevan di dalam pasaran," katanya.

Menurutnya, penularan wabak koronavirus (Covid-19) akan turut mengubah kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) syarikat dalam jangka masa panjang.

Iklan

"Ini meningkatkan keperluan bagi penggunaan teknologi digital di dalam operasi syarikat, seperti analisa data, automasi, pengurusan inventori, perancangan pengeluaran dan penyelenggaran peralatan”, katanya.

Beliau berkata, program peningkatan pendigitalan PKS dimulakan MARii setahun yang lalu.

Iklan

"Program Pembangunan Teknopreneur telah dilancarkan MARii pada Oktober 2029 bagi memperkasakan penggunaan sistem dan alatan digital di dalam operasi perniagaan.

"Sebanyak 10 syarikat mikro, kecil dan sederhana dari industri kraftangan, perabot dan makanan telah dipilih untuk menyertai program selama enam bulan bagi menerapkan teknologi dalam rekabentuk produk, pengurusan operasi, pemasaran dan penjualan secara digital dalam perniagaan masing-masing," katanya.

Selain itu, program Platform Teknologi Pintar MARii (MITP)

telah dibangunkan MARii bagi mendokong keperluan infrastruktur teknologi industri 4.0 untuk PKS.

"MITP adalah suatu penyelesaian sehenti bagi syarikat kecil dan besar dalam mengurus dan mengawal operasi mengguna pakai teknologi industri 4.0, terutamanya dari segi pengurusan data raya," katanya.

Madani berkata, platform tersebut membolehkan penggumpulan, analisa dan integrasi data dari segala aspek operasi syarikat, bagi mengenalpasti tren dan corak perniagaan secara lebih tepat – justeru membolehkan rangkuman strategi dan keputusan yang lebih arif dibuat oleh pihak pengurusan.

"Program MARii dirangkum bagi membantu syarikat mengatasi kesukaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat tempatan, terutamanya PKS dalam mentransformasi segala aspek syarikat ke arah kecenderungan teknologi yang lebih tinggi.

"Ianya terbuka kepada syarikat dari semua sektor, bagi menjamin kelestarian dan meningkatkan daya upaya ekosistem rantaian bekalan secara keseluruhan”, katanya.

Syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai program TDP dan MITP boleh berhubung terus dengan MARii melalui talian terus www.marii.my atau email info@marii.my.