SEJURUS selepas penarikan semula gelaran Dewi Remaja yang diberikan kepada Haneesya Hanee, ramai yang beranggapan, gelaran tersebut akan diberikan kepada penyandang tempat kedua, Tia Sarah.
Namun sebaliknya berlaku apabila buat pertama kalinya dalam sejarah pertandingan Dewi Remaja, edisi kali ini tiada pemenang.
Menurut Editor Remaja, Faiz Aiman, keputusan tersebut diambil kerana telah terbukti Haneesya Hanee layak sebagai Dewi Remaja namun oleh kerana melanggar kontrak maka gelaran tersebut terpaksa ditarik balik.
"Kita tidak mahu memberikan gelaran tersebut dengan mudah kepada orang lain. Justeru, untuk edisi kali ini, Dewi Remaja tiada pemenang.
"Pun begitu, tugas-tugas sebagai wakil Dewi Remaja akan digalas oleh Tia Sarah sebagai pemenang tempat kedua dan Tia Sarah kekal dengan gelaran tempat kedua tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Tia Sarah, 18, yang turut berada di sisi Haneesya Hanee ketika penyerahan mahkota, trofi dan selempang Dewi Remaja, berkata, dia akan terus menyokong Haneesya Hanee.
"Tempat Haneesya Hanee tidak ada yang boleh gantikan. Bagi saya dia sangat berbakat, bijak dan saya sayang kawan saya.
"Saya yakin dia akan jadi yang lebih baik, bangkit semula dan akan memberikan sokongan kepada Hanee,” jelasnya.
Gelaran Dewi Remaja yang disandang oleh Haneesya Hanee telah ditarik balik berikutan tersebarnya video yang memperlihatkan dirinya bersama dua lagi finalis Dewi Remaja di sebuah kelab.