Banjir: 75 penduduk Hulu Langat dipindah ke PPS

Iklan
Edry (dua dari kiri) ketika meninjau keadaan rumah penduduk terjejas di Kampung Serai semalam.

HULU LANGAT - Seramai 75 orang penduduk di Kampung Batu 10 dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) Kompleks Penghulu Batu 10 selepas kediaman mereka dinaiki air sekitar jam 6 petang semalam.

Difahamkan, ada antara penduduk terjejas terpaksa dipindahkan dengan menggunakan bantuan bot ekoran paras air yang tinggi.

Iklan
Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, semua mangsa berkenaan akan ditempatkan di kompleks itu untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hari sehingga keadaan kembali pulih.

"Operasi pemindahan itu bermula sekitar jam 9 malam dengan menggunakan bot pasukan penyelamat.

Iklan

"Oleh kerana ramalan cuaca akan hujan lagi pada malam ini dan esok, maka diputuskan agar pusat pemindahan sementara ini dibuka untuk beberapa hari kerana dikhuatiri bencana akan berulang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Edry (dua dari kanan) mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan di PPS Kompleks Penghulu Batu 10 itu.

Menurutnya, selain Kampung Batu 10, penduduk Kampung Serai turut terjejas selepas kediaman mereka dinaiki air ekoran hujan lebat petang semalam.

Iklan

"Kita sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan satu laporan lengkap berhubung punca sebenar banjir di kampung tersebut.

"Terdapat beberapa faktor dikenal pasti menyebabkan kawasan itu sering menjadi lokasi banjir antaranya melibatkan isu laluan sungai sempit dan perkara ini akan dilihat semula secara lebih teliti menerusi laporan disediakan JPS," katanya.

Dalam pada itu Edry berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan juadah sahur, berbuka puasa dan minum malam untuk semua mangsa yang ditempatkan di kompleks berkenaan.

"Kita juga nak ucapkan terima kasih di atas bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba sukarelawan terlibat memindahkan semua mangsa.

"Saya harap penduduk dapat memberi kerjasama dan kita doakan keselamatan semua," katanya.