KUALA LUMPUR - Seorang pemuda menjadi perhatian selepas kisahnya tular di laman sosial apabila memberi makanan kepada seekor anjing terbiar milik jirannya.
Kisah dikongsi pemilik Twitter @syahmibaek juga abang kepada pemuda itu berkata, anjing peliharaan tersebut setia menunggu tuannya setiap hari di hadapan pintu rumah.
"Saya bangga dengan adik lelaki, jiran sebelah tinggalkan rumah sewa dan biarkan anjing mereka macam itu sahaja.
"Paling sedih anjing itu buta, kalau terlepas dari pagar rumah mesti jatuh masuk longkang. Setiap hari menunggu tuan balik, nasib adik jagakan," katanya.
Simpati nasib menimpa anjing berkenaan, @syahmibaek berharap ada pihak atau individu sanggup mengambil anjing itu sebagai haiwan peliharaan.
"Setiap hari duduk dekat depan rumah tuannya, mengharap tuan balik, di situ tempatnya, setiap hari duduk baring (depan pintu) macam tu dari siang sampailah malam.
"Kini adik pula sudah jadi tempatnya nak bermanja. Sayangnya tak boleh nak bela, harap ada yang sudi jaga," katanya.
Dalam pada itu, rata-rata netizen berasa bangga dan mengucapkan terima kasih kepada pemuda berkenaan kerana berhati mulia menjaga anjing itu buat sementara waktu.
"Saya cukup bangga dengan adik kamu. Ucap terima kasih atas kebaikannya dan memiliki hati mulia. Moga ALLAH sentiasa balas kebaikan adik awak.
"Alhamdulillah anjing tu ditemukan dengan orang yang baik," @vivale.
Kata @amanlina,"Kamu memiliki hati yang baik, contoh terbaik sayangkan haiwan. Semoga dia dimurahkan rezeki dan diberi pahala berlipat kali ganda sebab menolong haiwan yang dalam kesusahan."